24 peserta berentap angkat berat

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 22 JULAI – Seramai 24 ahli sukan angkat berat dari seluruh negara telah berkumpul di Dewan Serba guna Pusat Insani untuk bersaing dalam Pertandingan ‘Cabar Had Anda’, kelmarin.

Pertandingan anjuran gim tempatan The Den buat kali pertama ini diadakan bagi membangunkan bakat sukan angkat berat sambil mempromosikan gaya hidup sihat melalui sukan.

Hadir sebagai tetamu kehormat ialah ahli sukan angkat berat dan ahli bina badan tempatan yang terkenal iaitu Awang Razali bin Awang Mahmud dan Awang Wadud bin Haji Abu Bakar. Turut hadir ialah Pengurus Gim The Den, Awang Hannafy bin Mohd Henry dan Pengurus Operasi Plaza Sutera Biru, Gary Yang.

Pada pertandingan itu, Awang Abdul Malik Al Mukkaramah muncul juara, Awang Mohd Ibnur Waie bin Ali mendapat tempat kedua dan Al-Muqaddim @ Awang Muhammad Abdul Muqaddim bin Zamri mendapat tempat ketiga.

Pada pertandingan itu juga, tetamu kehormat serta pengurus gim The Den menyampaikan pingat, sijil serta hadiah berupa serbuk protein kepada tiga pemenang utama dengan peserta lain juga menerima sijil penyertaan masing-masing.

Awang Abdul Malik Al Mukkaramah menerima hadiah selepas muncul sebagai pemenang pertama Pertandingan ‘Cabar Had Anda’, kelmarin.