Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Mei – Seramai 24 orang pegawai dari jabatan-jabatan kerajaan dan agensi-agensi berkaitan mengikuti Bengkel Skim Audit Negara-negara Anggota (IMSAS) Pertubuhan Maritim Sedunia (IMO) selama empat hari, bermula hari ini.
Bengkel anjuran Jabatan Laut dengan kerjasama Pertubuhan IMO yang diadakan di Jabatan Pelabuhan-pelabuhan, Muara, hingga 11 Mei itu dihasratkan untuk membantu agensi-agensi yang berkaitan membuat persediaan awal bagi proses audit yang akan dijalankan oleh IMO ke atas Negara Brunei Darussalam pada Mac 2018.
Bengkel empat hari itu dikendalikan oleh dua orang pakar dari IMO, Waleed Ahmad Sadeq Alsuheimat dan Leslie Hemachandra di mana bengkel itu adalah untuk memastikan serta menguji kefahaman para peserta menerusi pelbagai kegiatan yang dijalankan iaitu sesi kuliah, latihan individu dan penilaian secara berkumpulan.

Ia diharapkan membantu para peserta dalam mengukuhkan persediaan sebelum audit berkenaan dijalankan.
Audit IMSAS telah diwajibkan ke atas negara-negara ahli IMO bermula Januari 2016. Audit itu bertujuan untuk memberikan negara-negara ahli IMO penilaian yang menyeluruh dan mencapai objektif keberkesanannya dalam mentadbir dan melaksanakan kehendak instrumen IMO.
Ia juga bertujuan membantu negara ahli untuk meningkatkan keupayaan dan prestasi secara menyeluruh yang mematuhi keperluan keselamatan maritim, membantu penambahbaikan dan pemeliharaan alam sekitar maritim.