Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Mei – Bank Baiduri, semalam, telah mengadakan majlis penyampaian derma berjumlah $65,000 kepada lima badan kebajikan bersempena dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang dalam Pertandingan Golf Amal Baiduri Masters ke-22.
Hadir selaku tetamu kehormat di majlis yang diadakan di Ballroom Hua Ho, Manggis Mall, ialah Dr. Yang Amat Mulia Pengiran Muda Abdul Fattaah, selaku ahli Lembaga Pengarah Bank Baiduri.
Turut hadir ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.
Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Pierre Imhof menjelaskan bahawa kejohanan amal Baiduri Masters itu diadakan adalah sebagai salah satu sumbangan dalam menyokong komuniti dengan membuat perubahan.
“Melalui platform ini, kami menolong mengumpul dana bagi badan kebajikan tempatan, terutamanya pertubuhan kebajikan yang memenuhi keperluan terhadap individu yang berkeperluan khas dengan harapan untuk meringankan bebanan mereka,” jelas Pierre Imhof.



Pierre Imhof kemudian menyampaikan sumbangan pertama berupa cek kepada Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam (Pusat Ehsan) yang diwakili oleh Pemegang Amanah Dasar dan Perancangan Pusat Ehsan, Haji Ahmad bin Haji Abdul Rahman. Cek kedua pula diterima oleh SMARTER Brunei yang diwakili oleh Presiden SMARTER Brunei, Malai Haji Abdullah bin Haji Malai Othman.
Sementara tiga cek lain diterima oleh wakil dari The Learning Ladders Society, Dr. Nornasibah binti Haji Abdul Samad; Perkhidmatan Perkembangan Pediatrik yang diwakili oleh Haji Amin bin Haji Ibrahim; dan YASKA diwakili oleh Dayang Siti Zaleha binti Abdi Manaf.
Selain badan-badan kebajikan, sumbangan berkenaan juga telah disampaikan kepada Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) yang diwakili oleh Haji Rosmadee bin Haji Mohd Daud.