240 Pati Indonesia dihantar pulang

TAWAU, 3 JUN – Seramai 240 orang pendatang haram warganegara Indonesia diusir dari Sabah, untuk kembali ke negara asal mereka hari ini, dan 82 orang lagi dijangka menyusul pada hari Jumaat.

Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah, Sharifah Sitti Saleha Habib Yussof berkata ia merupakan siri ke-15 dan ke-16 pengusiran melalui laut bagi tahun ini.

Beliau berkata ia menjadikan jumlah keseluruhan pendatang haram yang dihantar pulang dari Sabah pada tahun ini berjumlah 3,753 orang, termasuk warganegara India, Pakistan dan Vietnam, yang sebelum ini diusir oleh Jabatan Imigresen melalui jalan udara.

Katanya selaras dengan situasi semasa dan ketetapan kerajaan, semua pendatang itu dimestikan menjalani ujian saringan COVID-19 terlebih dahulu sebelum diusir, dan sepanjang proses itu aspek penjagaan kebersihan sentiasa diutamakan.

“Hal ini juga selari dengan protokol kesihatan yang ditetapkan kedua-dua negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya jumlah pengusiran sejak tahun 1990 sehingga kini adalah 594,920.

Sementara itu Ketua Perwakilan Konsulat Republik Indonesia di Tawau, Sulistijo Djati Ismojo ketika ditemui berkata 240 warga Indonesia yang dihantar pulang melalui Terminal Feri Penumpang Tawau hari ini melibatkan 121 orang pada sebelah pagi dan 119 orang lagi tengah hari.

Menurutnya kesemua yang diusir sebelum ini ditahan di sekitar Tawau, Semporna, Kunak serta Kalabakan, dan dimasukkan ke Pusat Tahanan Sementara Jalan Utara Tawau, di sini, terlebih dahulu sebelum diusir.

Beliau dalam masa yang sama menzahirkan ucapan terima kasih atas kerjasama diberikan pihak berkuasa Malaysia terhadap rakyat Indonesia di Sabah. – Bernama

Konsol Republik Indonesia di Tawau Sulistijo Djati Ismojo (kiri) menanyakan sesuatu kepada salah seorang daripada 321 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dari Indonesia yang akan dihantar pulang ke negara asal mereka. – Bernama