LHOK SUKON, INDONESIA, 4 JAN – Kira-kira 24,000 orang dipindahkan dan dua kanak-kanak terbunuh dalam kejadian banjir di pulau Sumatera, Indonesia, menurut pegawai-pegawai hari ini, dengan ahli pemuliharaan alam sekitar menyalahkan pembasmian hutan sebagai punca memburukkan lagi bencana itu.
Hujan lebat telah melanda pulau itu selama berhari-hari, menyebabkan sungai-sungai melimpah dan meningkatkan paras air di kawasan-kawasan kediaman, menurut agensi bencana kebangsaan.
“Kami mengalami banjir sekurang-kurangnya lima hingga lapan kali setahun, tetapi ini adalah salah satu yang paling buruk,” kata Muzakkir, dari Pirak Timur, wilayah Aceh yang teruk terjejas.
Syarifuddin, dari kampung Lhok Sukon di Aceh, berkata bahawa “air banjir terus meningkat, di rumah saya, ia naik hingga ke dada saya”.
Wilayah itulah di mana pemindahan dan kematian berlaku, malah beberapa bangunan juga musnah disebabkan banjir yang mengalir deras dan merosakkan pertanian.
Wilayah Jambir di Sumatera juga terjejas teruk, dengan banyak rumah dinaiki air.
Pertubuhan bukan kerajaan alam sekitar Walhi berkata, banjir itu diburukkan lagi oleh pembasmian hutan untuk memberi laluan bagi perladangan minyak kelapa sawit Sumatera yang bernilai tinggi.
Pokok-pokok bertindak sebagai pertahanan semula jadi daripada banjir, memperlahankan kadar aliran air dari bukit dan masuk sungai. – AFP