24,000 pekerja kesihatan dijangkiti COVID-19

JOHANNESBURG, 5 OGOS – Kira-kira 24,000 pekerja kesihatan di Afrika Selatan telah dijangkiti COVID-19, 181 daripadanya telah meninggal dunia, sejak wabak itu melanda negara tersebut pada bulan Mac lalu, kata menteri kesihatan hari ini.

Afrika Selatan adalah negara yang paling teruk dilanda virus itu di Afrika dengan sekurang-kurangnya 521,318 disahkan setakat ini, menyumbang lebih daripada separuh kes di benua itu.

Menteri Kesihatan, Zweli Mkwize memberitahu bahawa jumlah pekerja kesihatan yang disahkan positif COVID-19 berjumlah 24,104 kes dengan 181 kematian.

Jumlah pekerja kesihatan yang dijangkiti sekitar lima peratus daripada jumlah keseluruhan di negara itu, berbanding dengan kadar global sekitar 10 peratus, katanya.

Penularan wabak di negara itu telah semakin meningkat dalam beberapa minggu terakhir.

Pihak berkuasa kesihatan telah menjangkakan lonjakan jangkitan setelah pelonggaran sekatan secara bertahap yang dikenakan pada 27 Mac, pada tahap awal pandemik.

Afrika Selatan kini berada di kedudukan lima teratas di dunia dari jumlah jangkitan. – AFP