247 anggota polis sertai IBR

LABUAN, 26 Julai – Seramai 247 anggota polis Labuan termasuk yang berpangkat tinggi menyertai ikrar bebas rasuah (IBR) sebagai usaha membebaskan mereka daripada gejala rasuah.

Majlis ikrar yang diinisiatifkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut melibatkan 46 kakitangan awam pelbagai agensi, menjadikan keseluruhan yang terlibat seramai 293 orang.

Majlis ikrar yang diketuai Ketua Polis Labuan ACP Adzhar Othman itu adalah juga sebagai usaha menyatukan anggota polis Labuan dalam memerangi rasuah.

“Kami sebagai anggota polis mendukung apa yang sering diingatkan oleh ketua polis negara dalam membebaskan setiap anggota daripada gejala rasuah sesungguhnya inisiatif ini yang berlangsung serentak seluruh negara dua hari lalu adalah baik,” katanya kepada Bernama hari ini.

ACP Adzhar Othman mengetuai Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bersama lebih 200 anggota PDRM Labuan. – Bernama
ACP Adzhar Othman mengetuai Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bersama lebih 200 anggota PDRM Labuan. – Bernama

Adzhar berkata beberapa langkah telah diatur oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard untuk memastikan rasuah dapat dikawal dalam kalangan anggota PDRM.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar Isnin lalu berkata, pihaknya menyasarkan sifar rasuah dalam kalangan anggota PDRM dan pelbagai usaha akan dibuat bagi mencapai objektif berkenaan.

Beliau mengakui wujud amalan rasuah dalam kalangan anggotanya, namun usaha mencegah perbuatan itu mesti bermula daripada keikhlasan diri anggota untuk menolak rasuah. – Bernama