Tuesday, April 16, 2024
36 C
Brunei

    -

    2,487 masih jalani pengasingan di rumah

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 APRIL – Sebanyak 1,144 dos vaksin telah diberikan kepada kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun, kelmarin, menjadikan jumlah keseluruhan pemberian vaksin dos pertama kepada 6,811 dos iaitu 15.9 peratus.

    “Sementara itu, liputan bagi penduduk negara ini yang telah menerima tiga dos vaksin adalah pada kadar 62.4 peratus, kelmarin,” kata Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar (gambar) semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

    Menurutnya, sebanyak 250 kes baharu jangkitan COVID telah dilaporkan hari ini, iaitu 230 kes hasil ujian ART dan 20 kes adalah hasil dari 883 ujian makmal RT-PCR yang telah dilakukan dalam masa 24 jam yang lalu.

    “Oleh itu, jumlah keseluruhan kes yang dilaporkan di Negara Brunei Darussalam setakat ini ialah 139,061 kes,” jelas Yang Berhormat Dato.

    Selain itu beliau turut menjelaskan bahawa terdapat satu kes yang dikategorikan dalam kategori 5 yakni mereka yang memerlukan rawatan di unit rawatan intensif (ICU).

    “Manakala dua kes dalam kategori 4 yakni mereka yang memerlukan bantuan oksigen dan di bawah pemantauan rapi,” tambahnya.

    Katanya lagi, sebanyak 130 kes telah disahkan sembuh yang membawa jumlah kes yang sembuh kepada 136,313 kes.

    Jumlah kes aktif pula ialah sebanyak 2,532 kes iaitu 45 kes sedang dirawat di hospital manakala 2,487 kes sedang menjalani pengasingan diri di rumah.

    Pada sidang media tersebut, Yang Berhormat Dato memaklumkan bahawa dalam tempoh 24 jam yang lalu, satu kes COVID telah meninggal dunia di mana kes tersebut tidak dikategorikan sebagai kematian disebabkan COVID.

    “Di kesempatan ini, saya mewakili warga Kementerian Kesihatan dan keseluruhan rakyat Negara Brunei Darussalam mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham. Semoga roh Allahyarham ditempatkan bersama para solihin. Al-Fatihah,” katanya.

    Di hujung kenyataannya, Yang Berhormat Dato menyeru kepada orang ramai untuk memohon keampunan dan hidayah daripada Allah SWT dan terus memanjatkan doa semoga Negara Brunei Darussalam berserta seluruh rakyat dan penduduknya sentiasa diberikan keafiatan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Bot karam di Kashmir India bunuh sekurang-kurangnya 4 orang

    SRINAGAR, 16 APRIL - Sebuah bot yang membawa sekumpulan orang terbalik di sungai di Kashmir yang dikuasai India pada hari ini, menenggelamkan empat daripada...