Thursday, April 25, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    25 dikompaun sepanjang perayaan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 JULAI – Seramai 25 orang warga tempatan dikenakan tindakan kompaun mengikut Perintah Akta Kesalahan-kesalahan Kecil (Pindaan) 2021, semasa Operasi Bersih yang dijalankan sepanjang perayaan sempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-76 tahun di sekitar pusat bandar dan Bandar Seri Begawan (BSB).

    Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan (JBBSB) menyatakan, operasi itu dilaksanakan bagi memantau keadaan pusat bandar dan sekitar BSB sentiasa dalam keadaan bersih dan indah selain memastikan orang ramai mematuhi Perintah Akta Kesalahan-kesalahan Kecil (Pindaan) 2021.

    Perayaan tahun ini menyaksikan penurunan kes pembuangan sampah kira-kira 63 peratus berbanding 2021, di mana seramai 67 orang dikenakan kompaun atas kesalahan di bawah akta berkenaan.

    Daripada seramai 25 orang individu berkenaan, seramai 22 orang melakukan kesalahan di bawah Bab 12(1)(a) dan tiga individu melakukan kesalahan di bawah Bab 12(1)(b).

    Individu-individu berkenaan diambil tindakan kerana membuang sampah bekas makanan dan minuman serta membuang puntung-puntung rokok di sekitar kawasan pusat perayaan atau pusat bandar.

    Individu-individu berkenaan dikehendaki menjelaskan kompaun masing-masing ke Bahagian Kewangan, Tingkat 3, JBBSB dalam tempoh tujuh hari.

    Orang ramai diperingatkan supaya sentiasa menjaga kebersihan alam sekitar bagi menjaga kemaslahatan seluruh Negara Brunei Darussalam.

    Orang ramai yang mempunyai sebarang aduan dan perkongsian maklumat yang berkaitan boleh menyalurkannya terus ke talian e-Darussalam 123, WhatsApp ke 8333123, hotline Bahagian Penguat-kuasaan Undang-undang JBBSB di talian 7291122.

    Pegawai-pegawai penguat kuasa undang-undang JBBSB melaksanakan Operasi Bersih sepanjang berlangsung perayaan sempena Hari Keputeraan Baginda Sultan ke-76 tahun di sekitar pusat bandar dan Bandar Seri Begawan. – Gambar serahan JBBSB

     

     

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...