25 keluarga terima sumbangan

Gambar serahan Perbadanan TAIB

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 MEI – Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (Perbadanan TAIB) bersama anak-anak syarikatnya, Insurans Islam TAIB Holdings Sdn Bhd dan Darussalam Holdings Sdn Bhd telah bersama-sama menganjurkan program amal tahunan, Barakah Bainal Anam dengan menyampaikan sumbangan kepada 25 buah keluarga yang kurang berkemampuan di seluruh daerah.

Bagi tahun ini, Perbadanan TAIB telah menghulurkan bantuan kepada keluarga warga emas yang tersenarai di bawah Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) dan kepada tiga mantan kakitangan TAIB.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, semasa program amal berkenan, pihak Perbadanan TAIB telah mengedarkan barangan bantuan dan sumbangan seperti keperluan harian, barangan rumah serta barangan hari raya untuk membantu meringankan beban mereka dalam bulan Ramadan dan bagi persiapan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan menjelang.

Pegawai dan kakitangan yang terlibat dalam program amal berkenaan telah mengunjungi rumah-rumah penerima di keempat-empat daerah yang mana rombongan telah diketuai
oleh Timbalan Pengarah Urusan Perbadanan TAIB, Haji Osman bin Mohd Jair.

Pegawai dan kakitangan terlibat juga mematuhi nasihat Kementerian Kesihatan mengenai penjarakan sosial dalam situasi wabak COVID-19, termasuklah mengehadkan bilangan kakitangan memasuki setiap rumah dan menggunakan penutup hidung dan mulut serta gel pembasmi kuman sepanjang program dijalankan.

Haji Osman dan warga Perbadanan TAIB semasa menyampaikan sumbangan kepada salah sebuah keluarga di Kuala Belait.
Haji Osman mengetuai Program Barakah Bainal Anam dan menyampaikan sumbangan kepada salah sebuah keluarga penerima di Daerah Temburong.