25 kesalahan dikesan dalam ops sepadu

Oleh Yusrin Junaidi

TUTONG, 23 OGOS – Sebanyak 25 kesalahan kompaun dan satu kesalahan doket dicatatkan Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) terhadap pemandu-pemandu yang melakukan pelbagai kesalahan dalam operasi sekatan jalan raya di Lebuh raya Telisai, berhampiran Jejambat Kampung Bukit Beruang, Tutong baru-baru ini.

Operasi Sepadu bersama beberapa buah agensi terdiri daripada PPDB, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja Brunei (JKED) dan Biro Kawalan Narkotik itu melibatkan seramai 81 orang pegawai penguat kuasa. Operasi diketuai Pemangku pegawai Siasatan Lalu lintas Daerah Polis Tutong, Penolong Penguasa Polis (ASP) Shamsul Ariffin bin Haji Abdul Wahab itu antaranya mengesan kesalahan yang merangkumi pengubahsuaian kenderaan, cukai jalan mansuh, lesen memandu mansuh, tayar kenderaan tidak sesuai digunakan dan beberapa lagi kesalahan lain.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, operasi bertujuan menguatkuasakan peruntukan perundangan yang telah dikuatkuasakan oleh pihak berwajib dengan menjalankan pemeriksaan rambang terhadap para pemandu serta kenderaan mereka.

Ia juga bagi memastikan tiada pelanggaran akta yang menjurus kepada kesalahan lalu lintas mahu pun berkaitan dengan bidang kuasa pihak penguatkuasa yang lain seperti membawa barang-barang tegahan, membawa dadah atau barangan dipercayai digunakan untuk sebarang kegiatan jenayah.

Pemeriksaan dilakukan PPDB semasa Operasi Sepadu bersama agensi-agensi terbabit di Lebuh raya Telisai, Tutong. – Gambar serahan PPDB.