Friday, April 19, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Korban ribut Megi di Filipina meningkat kepada 42

    BUNGA, FILIPINA, 12 APRIL – Para penyelamat yang dihalang lumpur dan hujan hari ini menggunakan tangan mereka dan penyodok untuk mencari mangsa-mangsa selamat dalam tanah runtuh yang melanda kampung-kampung di tengah Filipina, sementara angka korban daripada ribut tropika Megi meningkat kepada 42.

    Berpuluh-puluh ribu orang melarikan diri dari kediaman mereka apabila ribut melanda rantau yang terdedah kepada bencana itu dalam beberapa hari kebelakangan, menurunkan hujan lebat yang membanjiri rumah-rumah, menjejaskan jalan-jalan raya dan memutuskan bekalan elektrik.

    Sekurang-kurangnya 36 orang telah terkorban dan 27 hilang selepas tanah runtuh berlaku di beberapa buah kampung di sekitar Bandar Baybay di wilayah Leyte, yang paling terjejas oleh ribut itu, menurut pihak berkuasa setempat. Lebih kurang 100 orang cedera.

    Tiga orang juga terbunuh di wilayah tengah Negros Oriental dan tiga orang di pulau selatan utama Mindanao, jelas agensi bencana kebangsaan. Angka korban dijangka meningkat.

    Usaha-usaha menyelamat diteruskan hingga ke malam hari ini di kampung Pilar, wilayah Leyte, selepas runtuhan lumpur dan tanah menolak rumah-rumah milik kira-kira 400 penduduk ke laut.

    “Anggaran awal adalah 80 peratus rumah dihanyutkan,” Reinz Corbeza, seorang pegawai pertahanan awam di perbandaran Abuyog, yang termasuk Pilar, memberitahu AFP.

    Beliau menambah bahawa kira-kira 50 orang telah selamat atau diselamatkan oleh bot selepas jalan-jalan raya ke Pilar terputus akibat tanah runtuh. – AFP

    Gambar daripada Pengawal Pantau Filipina menunjukkan penduduk dipindahkan oleh para penyelamat di sebuah kampung yang dilanda banjir di Panitan, pulau Panay, Filipina, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...