25 maut banjir landa Bihar

NEW DELHI, 16 OGOS – Seramai 25 orang maut, manakala 8.1 juta penduduk terjejas akibat banjir teruk melanda negeri di timur India, Bihar, menurut laporan pihak berkuasa kelmarin.

Jabatan Pengurusan Bencana Bihar (BDMD) mengatakan banjir menenggelamkan kesemua 16 daerah di seluruh negeri itu yang mempunyai 8,131,841 penduduk.

BDMD turut memaklumkan sebanyak 1,310 kampung dilanda banjir besar itu, yang tersebar meliputi 130 blok merangkumi 16 daerah.

Turut dilaporkan, aliran beberapa sungai dan anak sungai sudah melepasi paras bahaya di beberapa daerah yang terjejas.

Setakat ini, banjir meragut 25 nyawa membabitkan penduduk dari lima daerah dan lebih setengah juta penduduk yang terjejas berjaya diselamatkan oleh pihak berkuasa.

“Selain itu, 782 dapur komuniti turut diwujudkan bagi membekalkan makanan kepada mereka yang terjejas,” katanya.

Pihak berkuasa juga mengarahkan 33 pasukan tindak balas bencana merangkumi 20 Pasukan Tindakan Bencana Nasional (NDRF) dan 13 Pasukan Tindakan Bencana Negeri (NDRF) bagi menyalurkan bantuan dan melakukan kerja menyelamat. – AFP

Banjir yang berlaku di Jal Mahal selepas hujan lebat di Jaipur, India baru-baru ini. Selain Jaipur, Bihar turut berdepan banjir teruk yang meragut 25 nyawa dan menjejaskan berjuta-juta penduduknya. – AFP