25 maut dalam serangan hendap Taliban

KUNDUZ, 22 OKT – Sekurang-kurangnya 25 anggota pasukan keselamatan Afghanistan terbunuh dalam serangan hendap yang dipercayai dilakukan Taliban, kata sumber rasmi.

Serangan hendap itu dilakukan walaupun Taliban memberi jaminan kepada Washington untuk mengurangkan keganasan minggu lalu.

Pasukan keselamatan itu diserang semalam di wilayah Takhar dan pertempuran masih berlarutan, kata jurucakap Gabenor wilayah, Jawad Hejri, yang mengesahkan 25 orang maut dalam serangan itu.

“Pasukan Taliban mengambil kedudukan di dalam rumah sekitar kawasan berkenaan dan menyerang pasukan kami yang sedang melakukan operasi memerangi musuh,” katanya.

Pengarah kesihatan wilayah Takhar, Abdul Qayoum, berkata secara keseluruhan 34 pegawai keselamatan terbunuh, termasuk timbalan ketua polis wilayah.

Puak Taliban setakat ini tidak mengulas mengenai serangan berkenaan.

Walaupun rundingan damai sudah bermula di Qatar, kumpulan pelampau itu masih meningkatkan tahap keganasan di Afghanistan.

Satu serangan besar oleh Taliban di wilayah Helmand minggu lalu memaksa orang ramai meninggalkan kediaman masing-masing, manakala letupan bom kereta di ibu pejabat polis di Ghor meragut 16 nyawa dan mencederakan 154 yang lain. – AFP

Ahli keluarga mengerumuni keranda seorang tentera di luar sebuah hospital selepas serangan hendap yang dipersalahkan atas Taliban di mana mereka membunuh sekurang-kurangnya 25 anggota keselamatan Afghan di wilayah Takhar. -AFP