25 pegawai baharu sertai kursus induksi

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OGOS – Seramai 25 orang pegawai baharu dari Kementerian Kesihatan mengikuti kursus induksi yang bermula hari ini dengan majlis pembukaan di Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis itu ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional) di Kementerian Kesihatan, Dr Haji Zulaidi bin Haji Abdul Latif.

Dalam ucapannya pada majlis tersebut, Dr Haji Zulaidi menyeru semua pegawai dan kakitangan di Kementerian Kesihatan agar terus berusaha dengan gigih bagi membantu pihak kementerian dalam melaksanakan apa jua bentuk program atau inisiatif dalam menyokong dan merealisasikan Pelan Strategik Kementerian Kesihatan 2019-2023.

“Kementerian Kesihatan berharap agar setiap pegawai dan kakitangan akan dapat menanamkan sifat berdisiplin dan komited dalam menjalankan tugas masing-masing bagi memberikan perkhidmatan yang berkualiti tinggi.

“Saya yakin dengan adanya semangat bekerja dalam satu pasukan dan disokong oleh ketua jabatan masing-masing, sudah pasti dapat mewujudkan sebuah kementerian yang dinamik dan berwibawa agar dapat memberi perkhidmatan yang efisien, efektif, sistematik, berkualiti dan cemerlang. Semoga dengan itu dapatlah kita mendokong visi kementerian kita iaitu Bersama Ke Arah Warga Sihat,” ujar beliau.

Pegawai-pegawai yang menyertai kursus pada kali ini terdiri daripada doktor-doktor pergigian dan pegawai-pegawai baharu yang berkhidmat di Kementerian Kesihatan dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Antara lain tujuan kursus berkenaan adalah untuk menyerapkan serta memperkenalkan mereka kepada struktur organisasi kementerian, Pelan Strategik Kementerian Kesihatan 2019-2023, peraturan-peraturan am kerja dan pengurusan dalam perkhidmatan awam.

Di samping itu, kursus yang akan berjalan sehingga 14 Ogos depan itu juga akan diisikan dengan lawatan ke fasiliti-fasiliti di bawah Kementerian Kesihatan termasuk hospital-hospital dan pusat kesihatan di keempat-empat daerah.

Antara pegawai baharu dari Kementerian Kesihatan yang menyertai kursus induksi di Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan.