25 peratus pesaskit remaja dijangkiti Delta

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 SEPT – Kira-kira 25 peratus pesakit COVID-19 golongan remaja berumur 18 tahun dan ke bawah dijangkiti varian mudah menular, Delta.

Perkara tersebut dikongsikan oleh Menteri Kesihatan Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa sidang media di Kementerian Kesihatan hari ini.

Selain itu, Yang Berhormat Dato turut menjelaskan bahawa tidak diketahui bagaimana varian Delta akan menular pada masa akan datang.

Oleh itu, tegas beliau, pengawalan perlu diketatkan dengan melanjutkan pengawalan sehingga 3 Oktober depan.

Dalam usaha mengawal penularan, Yang Berhormat Menteri Kesihatan berharap orang ramai untuk terus mengurangkan pergerakan dan terus teranah di rumah.

Mengulas persoalan mengenai keperluan menambah pusat pengasingan di negara ini, beliau berkata bahawa pihak kerajaan menyediakan beberapa buah lagi pusat pengasingan seperti di Mahad Islam Brunei yang mempunyai tiga fasa, yang mana fasa 1 dan 2 sudah pun siap dan fasa ke-3 akan siap pada hujung minggu ini.

Pusat pengasingan lain adalah Sekolah Menengah Sufri Bolkiah di Tutong manakala itu, ada dua tempat pengasingan di Daerah Belait iaitu di Lumut dan dan Pusat Tingkatan Enam Mumong selain Kem Latihan Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) di Daerah Temburong.

Menurut beliau, pusat-pusat pengasingan berkenaan mampu menempatkan lebih 2,000
orang.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa mengongsikan perkembangan terkini situasi jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan, kelmarin.- Gambar oleh James Kon