25 peratus rakyat Malaysia pilih Brazil

KUALA LUMPUR, 14 Jun – Dua puluh lima peratus rakyat Malaysia yang mengikuti perkembangan Piala Dunia FIFA 2018, percaya pasukan gergasi dari Amerika Selatan, Brazil mampu mencipta sejarah dengan menjulang kejuaraan bola sepak tersebut buat kali keenam.

Menurut kajian dijalankan agensi penyelidikan pasaran global, Ipsos terhadap 1,000 rakyat Malaysia berumur 16 hingga 64 tahun, 19 peratus yakin juara bertahan, Jerman mampu menjadi pasukan ketiga selepas Itali (1934 dan 1938) dan Brazil (1958 dan 1962) untuk mengekalkan kejuaraan, manakala 11 peratus memilih Sepanyol.

Jika dibandingkan dengan pendapat global (19,766 temu bual dari 27 negara), 23 peratus percaya Jerman yang diberi jolokan ‘The Mannschaft’ bakal mempertahankan gelaran, diikuti 21 peratus sokongan untuk Brazil dan 11 peratus kepada Sepanyol.

Kajian yang dijalankan dari 20 April hingga 4 Mei 2018 itu, turut mendedahkan keghairahan Piala Dunia boleh mengakibatkan peminat sanggup terlepas kerja atau sekolah semata-mata untuk menonton perlawanan-tersebut, apabila 24 peratus responden secara global mengakui perkara itu, lebih satu peratus berbanding rakyat Malaysia (23 peratus).

Lebih separuh rakyat Malaysia (51 peratus) merupakan peminat tegar Piala Dunia, dengan 24 peratus berhasrat untuk menonton setiap perlawanan yang ditayangkan, manakala 27 peratus akan menonton perlawanan melibatkan pasukan kegemaran mereka.

Rakyat Malaysia pilih Brazil julang gelaran Piala Dunia 2018 di Rusia. – AFP

Menonton Piala Dunia menjadi pengalaman sosial kepada rakyat Malaysia apabila sembilan dari 10 rakyat (88 peratus) berkata akan menonton bersama keluarga atau rakan-rakan mereka.

Perkembangan teknologi digital dilihat tidak berapa menggugat kepentingan siaran televisyen ketika kejohanan paling berprestij dunia itu yang bakal membuka tirai di Rusia pada malam ini, apabila 64 peratus rakyat Malaysia mahu menyaksikan Piala Dunia menerusi televisyen, berbanding 24 peratus merancang menonton menggunakan peranti mudah alih.

Mengejutkan apabila hanya sembilan peratus penduduk negara tuan rumah Piala Dunia kali ini, Rusia menganggap diri mereka sebagai peminat bola sepak, manakala satu pertiga (35 peratus) menyatakan mereka hanya kadang-kadang menonton bola sepak.

Sementara itu, 36 peratus responden dari negara paling besar di dunia itu menyatakan bahawa mereka sama sekali tidak pernah mengikuti bola sepak.

Kajian itu dijalankan menerusi sistem Panel Dalam Talian Ipsos di 27 negara termasuk Argentina, Australia, Belgium, Brazil, Kanada, China, Perancis, Jerman, India, Itali, Jepun, Mexico, Romania, Arab Saudi, Serbia, Afrika Selatan, Turki, England dan Amerika Syarikat.

Piala Dunia 2018 akan berlangsung dari 14 Jun hingga 15 Julai. – Bernama