25 peserta jalani program tingkat kemahiran diri

Gambar serahan UTB

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OGOS – Sebagai sebahagian daripada Program Pembangunan Eksekutif bagi Pegawai-pegawai Pengurusan Pertengahan kali ke-29 (EDPMMO), Universiti Teknologi Brunei (UTB) dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah mengadakan aktiviti pembangunan berpasukan selama sehari.

Program yang disertai seramai 25 peserta itu dikendalikan oleh Ketua Akademi Pertahanan Pusat Kepimpinan dan Pengurusan, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Mohammad Ghazali bin Haji Hussin dan Staf Pengarah 2, Maktab Turus Akademi Pertahanan, ABDB, LTC Shahromey bin Bakri.

Menurut kenyataan daripada UTB, di sini, semasa program tersebut para peserta telah menjalani pelbagai aktiviti dalaman dan juga luaran seperti Kenali Kem Kitani yang menerapkan nilai-nilai penting seperti kepercayaan, hormat, semangat berpasukan serta membina kemahiran hidup termasuk komunikasi untuk menjalin hubungan yang lebih kukuh dan bersatu dalam sebuah kumpulan.

EDPMMO secara rasmi bermula pada 18 Ogos lalu bersama dengan Program Pembangunan Eksekutif ke-28 bagi Pegawai Kanan Kerajaan (EDPSGO) yang diadakan di Teater Kuliah 2, Kompleks Perpustakaan, UTB.

Kedua-dua program ini merangkumi pendekatan pembelajaran gabungan yang terdiri daripada ceramah interaktif dan webinar dari fasilitator tempatan dan antarabangsa, lawatan, ceramah, aktiviti kemasyarakatan dan sebagainya. Program-program ini akan difasilitasi oleh pakar dari pelbagai universiti tempatan dan antarabangsa serta pengamal industri termasuk Kementerian Pertahanan.

Antara aktiviti yang diadakan semasa program tersebut.
Para peserta ketika melakukan salah satu aktiviti secara berkumpulan.