Thursday, April 25, 2024
24.3 C
Brunei

    -

    25 peserta UNISSA lawat sawah padi, ladang ternakan

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 MEI – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Fakulti Pertanian telah mengadakan lawatan akademik ke ladang sawah padi dan ladang ternakan kambing milik Hasmit Enterprise, di Kampung Batong, baru-baru ini.

    Rombongan seramai 25 orang peserta yang terdiri daripada 14 orang pelajar tahun satu Program Ijazah Sarjana Muda Sains Pertanian (Agribisnis), enam orang pensyarah dan lima orang kakitangan Fakulti Pertanian, UNISSA telah menyertai program lawatan tersebut.

    Pada sebelah pagi semasa lawatan di sawah padi, peserta rombongan telah diberikan taklimat ringkas mengenai tatacara menanam padi.

    Para peserta seterusnya berpeluang memberikan khidmat sambil belajar menanam padi secara tradisional menggunakan tangan dan secara moden menggunakan jentera penanam padi.

    Antara jenis padi yang diusahakan termasuk MRQ76, Sembada 188 dan Titih.

    Para pelajar Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) bergelumang dalam lumpur ketika mencuba sendiri menanam padi secara tradisional dan moden pada lawatan mereka ke sawah padi dan ladang ternakan di Kampung Batong baru-baru ini. – Gambar serahan UNISSA
    Antara peserta yang terdiri daripada pelajar, pensyarah dan kakitangan UNISSA semasa aktiviti menanam padi menggunakan jentera penanam padi di ladang sawah tersebut. -Gambar serahan UNISSA

    Pada sebelah petang, peserta rombongan telah dibawa ke ladang ternakan kambing syarikat.

    Di sana, mereka berkesempatan melihat dan mempelajari cara-cara pengurusan ladang kambing. Seterusnya, para peserta diberikan penerangan mengenai pemprosesan susu kambing segar yang di ladang berkenaan.

    Peserta rombongan kemudiannya menuju ke destinasi terakhir lawatan mereka iaitu ke ladang padi Kampung Wasan.

    Di sana mereka dapat melihat tanaman padi milik syarikat yang sudah mencapai usia satu bulan.

    Selain itu, pengarah Hasmit Enterprise turut berkesempatan mengongsikan pengalaman beliau dalam memulakan usaha penanaman padi semasa lawatan tersebut.

    Lawatan akademik itu diadakan adalah untuk memupuk nilai-nilai kerjasama dan saling bantu-membantu sesama sendiri dan juga komuniti, di samping memberikan pendedahan, membina pengalaman dan kemahiran kepada pelajar dalam bidang pertanian dan penternakan haiwan selaras dengan modul pembelajaran mereka iaitu Agronomy and Animal Husbandry.

    Ia juga diharapkan dapat memberikan impak positif kepada peserta-peserta dari segi pendedahan terhadap kegiatan keusahawanan.

    Aktiviti khidmat masyarakat para pelajar Fakulti Pertanian tersebut juga memberi pengalaman kerja berpasukan dan kemahiran bertani dalam usaha untuk melahirkan generasi belia yang berwawasan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...