25 sekolah di pedalaman Sandakan bakal dilengkapi air paip

SANDAKAN, 15 JULAI – Kira-kira 25 sekolah di kawasan pedalaman Sandakan bakal menikmati kemudahan bekalan air paip susulan arahan Jabatan Pendidikan Sabah yang mahu memastikan sekolah terbabit memenuhi prosedur operasi standard (SOP) menangani penularan COVID-19.

Pegawai Pendidikan Daerah Sandakan, Dr Dalmansa Tahil berkata pihaknya telah diarah melawat dan membuat penilaian akan keperluan sekolah-sekolah terbabit dan menghantar laporan kepada jabatan berkenaan untuk tindakan lanjut.

Daripada kira-kira 25 buah sekolah ini, 16 terletak di pulau-pulau dan ketiadaan sistem paip air bersih menyebabkan pihak sekolah terpaksa mencari jalan sendiri untuk memastikan SOP itu dipatuhi, katanya yang ditemui ketika melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Bambangan, hari ini.

Menurutnya beliau difahamkan peruntukan untuk tujuan itu telah tersedia dan isu berkenaan dijangka dapat diselesaikan pada penghujung September.

Sementara itu, Guru Besar SK Kampung Bambangan Awang Damit Ayob berkata sekolah dan penduduk kampung berkenaan yang mempunyai 300 buah rumah, bergantung pada air hujan untuk kegunaan harian kerana sumber bekalan air terawat terdekat terletak kira-kira 5.6 kilometer dari situ. –

“Bagi mematuhi SOP, sekolah kami membuat sinki daripada besen plastik dengan menebuk lubang di tengah-tengah yang kemudian disambung dengan paip untuk penyaliran,” katanya. – Bernama

“Disebabkan kami tidak mempunyai bekalan air yang cukup, kami nasihat ibu bapa dan penjaga agar bekalkan anak masing-masing dengan air di dalam botol untuk dituang di dalam pembahagi air yang kami buat bagi membolehkan murid-murid membasuh tangan, sementara kami mencari penyelesaian yang lebih baik,” katanya. – Bernama

Pelajar SK Bambangan mencuci tangan sebelum masuk ke kelas bagi memulakan hari pertama persekolahan dalam norma baharu. Pelajar Tahun 5 dan 6 memulakan persekolahan pada 15 Julai. – Bernama