Saturday, April 20, 2024
30.2 C
Brunei

    -

    25 tamat Kursus Bahasa Arab

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 NOV – Seramai 25 orang, yang mewakili empat buah kementerian kerajaan telah berjaya menamatkan Kursus Pengenalan Bahasa Arab Asas Komunikasi dan diraikan pada majlis penutup dan penyampaian hadiah yang berlangsung di Bangunan Tambahan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), di sini, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim bin Pengiran Haji Hassan.

    Dalam ucapannya, beliau menjelaskan kursus berkenaan telah dijalankan dalam lapan sesi dan bermula pada 1 November lalu.

    Beliau berkata, objektif kursus adalah untuk mendedahkan dan memperkenalkan asas-asas bahasa Arab, sekali gus mengajarkan dan melatih tubi peserta tersebut dengan ungkapan-ungkapan bahasa Arab yang lazim dan mudah dalam komunikasi seharian.

    Ia juga diharap dapat memupuk dan menanamkan minat peserta kursus untuk terus mempelajari bahasa Arab.

    Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta semasa majlis berkenaan.
    Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim bergambar ramai bersama peserta majlis berkenaan.

    Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim berkata lagi, dalam kepelbagaian bahasa di dunia yang digunakan oleh umat manusia untuk berkomunikasi, Allah SWT telah memilih bahasa Arab untuk menjadi bahasa yang membawa mesej agama Islam.

    Al-Quran yang merupakan kitab suci umat Islam dan sumber hukum diturunkan kepada umat manusia dalam bahasa Arab.

    Malah Rasulullah SAW yang dilantik menjadi utusan terakhir yang dari mana Baginda sendiri juga dilahirkan dalam kalangan masyarakat Arab yang dari Bagindalah lahirnya sumber hukum kedua, Al-Sunnah iaitu hadis sama ada dalam bentuk qauli, fili dan taqriri.

    Beliau berkata, tuntutan untuk mempelajari bahasa Arab tidak hanya tertumpu kepada golongan tertentu seperti ulama, ahli akademik dan pelajar-pelajar sekolah Arab, malah ia turut menjadi satu keperluan bagi masyarakat awam yang beragama Islam untuk turut sama mempelajarinya.

    Justeru itu, usaha yang diungkayahkan oleh Unit Program Ta’zeez Al-Laughah Al-Arabiah Bi Madaris Arabiah itu adalah tepat.

    “Kita perlu menguar-uarkan akan kepentingan mempelajari bahasa Arab kepada orang awam. Dalam masa yang sama saya berharap unit ini juga akan terus berusaha untuk menyediakan program-program atau modul-modul lanjutan pada masa-masa akan datang,” ujarnya.

    Para peserta kursus anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Unit Program Ta’zeez Al-Laughah Al-Arabiah Bi Madaris Arabiah Pejabat Setiausaha Tetap dengan kerjasama Bahagian Perancangan dan Pembangunan Sumber Manusia, Jabatan Pentadbiran itu terdiri daripada kakitangan awam dari KHEU, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Kementerian Pertahanan dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).

    Kursus berkenaan antara lain bertujuan untuk mempromosikan dan membudayakan bahasa Arab kepada masyarakat di negara ini khususnya dalam kalangan warga perkhidmatan awam dan agensi-agensi yang berkaitan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...