25 terima sumbangan dalam Projek Jalinan Kasih ke-12

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 APRIL – Dengan hasrat untuk mewujudkan masyarakat yang penyayang, prihatin kepada golongan yang kurang bernasib baik serta beramal dengan menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan, Radio Televisyen Brunei (RTB) melalui Bahagian Rancangan Radio meneruskan Projek Jalinan Kasih buat kali ke-12.

Projek itu merupakan tanggungjawab sosial RTB dalam sama-sama mendukung hasrat kerajaan bagi mewujudkan kehidupan bermasyarakat yang penyayang dan prihatin kepada golongan yang kurang bernasib baik dan memerlukan bantuan.

Bagi tahun ini, seramai 25 penerima menerima sumbangan berupa keperluan harian dan wang tunai iaitu 11 penerima dari Daerah Brunei dan Muara, lima dari Daerah Tutong, lima dari Daerah Belait dan empat dari Daerah Temburong.

Para penerima terdiri daripada anak-anak yatim, warga emas, orang-orang yang berkeperluan khas, saudara baharu dan individu-individu yang kurang berkemampuan.

Bagi projek ke-12 itu, sebanyak 18 buah syarikat tempatan telah ikut serta memberikan sumbangan kepada para penerima yang terpilih iaitu BMC Food Industries, TGT Sdn Bhd, Hamitan Group, Lotus Light Charity Society, Bahagia Distributors Sdn Bhd, Orbit Supermarket, Brusin Trading Co Sdn Bhd, Copynice Marketing Services Sdn Bhd, Sim Kim Huat, Khan’s Carpet, Progresif Cellular Sdn Bhd, Syarikat Ampuan Haji Salleh bin Ampuan Haji Judah, Ton Soon Heng, Chieng Chiew An, Restoran Tanda Kasih, Restoran Nurshahnizam, Joffren Omar Company Sdn Bhd dan Pusat Akademi Sukan Memanah Ar-Rafi Archery Brunei.

Pelaksanaan projek adalah bertepatan dengan slogan RTB iaitu ‘Sentiasa Bersama Biskita’ yang bukan hanya terbatas melalui radio dan televisyen, malahan jua secara bersemuka dengan masyarakat di keempat-empat daerah.

Berikutan penularan jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, rombongan Jalinan Kasih telah mengambil langkah-langkah waspada seperti melakukan penjarakan sosial, mengehadkan jumlah keramaian ahli jawatankuasa kerja dan memendekkan masa bagi penyerahan sumbangan.