25 terkorban serangan ke atas kuil Sikh

KABUL, 25 MAC – Sekurang-kurangnya 25 orang maut hari ini dalam serangan ke atas kuil Sikh-Hindu di ibu negara Afghanistan di mana jemaah sedang berdoa, serangan kejam terbaharu yang didakwa dilakukan oleh kumpulan Islamic State.

Serangan itu berlaku ketika Afghanistan sedang bergelut dengan pelbagai krisis, termasuk peningkatan pemberontakan, kebuntuan politik, pemotongan besar bantuan daripada Amerika Syarikat (AS), masalah proses perdamaian dan pertambahan kes COVID-19.

“Pada jam 7:45 pagi, sejumlah penyerang telah menyerbu sebuah kuil Sikh-Hindu,” beritahu jurucakap kementerian dalam negeri Tariq Arian kepada AFP.

Saksi Raju Singh Sonny memberitahu AFP beberapa penyerang memasuki bangunan dan mereka menembak jemaah dari satu bilik ke bilik lain.

“Orang ramai terperangkap di dalam bangunan itu dan anggota keselamatan sedang berusaha menyelamatkan mereka.”

Kumpulan Islamic State mendakwa bertanggungjawab atas serangan, menurut kumpulan risikan SITE. Taliban menafikan sebarang pembabitan.

“Terdapat kira-kira 150 orang di dalam kuil itu. Ada sejumlah keluarga tinggal di situ dan mereka lazimnya berkumpul untuk sembahyang pada waktu pagi.

“Beberapa orang di dalam kuil itu sedang bersembunyi dan telefon mereka tutup. Saya amat bimbang,” kata ahli parlimen Sikh di Afghanistan, Anarkali Kaur Honaryar.

Jurucakap kementerian kesihatan Wahidullah Mayar berkata 15 orang ce-dera dan seorang kanak-kanak terbunuh telah dibawa ke sebuah hospital tempatan. Namun dikhuatiri angka kematian akan meningkat, tatkala gambar yang disiar dalam talian menunjukkan beberapa mayat serta orang ketakutan berlari dari tempat kejadian. – AFP

Kakitangan keselamatan Afghan berdiri mengawal tapak serangan kuil Sikh di Kabul kelmarin. – AFP