250 bungkusan makanan diagihkan

Oleh Siti Nur Wasimah S.

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Okt – Sebanyak 250 bungkusan makanan telah pun diagihkan dalam Projek Cook ‘n’ Share yang disertai seramai 24 orang pegawai kerajaan yang diadakan di Pusat Belia, di ibu negara, hari ini.

Mereka yang terlibat terdiri daripada para pegawai dari pelbagai jabatan dan kementerian yang mengikuti Program Eksekutif Muda Kohot 3 (YEP-3), yang dianjurkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam dan Institut Perkhidmatan Awam, Jabatan Perdana Menteri dengan membawa tema ‘giving back to our unsung heroes.’

Projek berkenaan merupakan usaha berterusan yang bertujuan memupuk dan meningkatkan lagi budaya bergotong-royong sambil beramal dengan menghargai kerja keras para buruh tempatan yang telah berusaha memastikan persekitaran dan jalan raya di negara ini sentiasa dalam keadaan yang baik dan rapi.

Sumbangan makanan tersebut telah diagih-agihkan di lebih 15 lokasi di daerah ini, antaranya ialah Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi dan Jabatan Jalan Raya, Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan.

Projek ini juga secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan sesama peserta YEP-3 dan meningkatkan lagi kerja berpasukan di kalangan mereka.

Selain itu, para peserta YEP-3 juga telah mengadakan beberapa projek khidmat masyarakat yang lain melalui kumpulan masing-masing seperti Projek Youth BE-Passion oleh Kumpulan GEN4P, Projek Assalamualaikum oleh Kumpulan Hexcellents, Projek MhIND oleh Kumpulan Belia Warriors dan Projek Foosion oleh UNO.

Melalui projek kemasyarakatan seperti ini memberi banyak peluang kepada peserta untuk mengasah kemahiran baharu dan diterapkan dalam jabatan dan kementerian masing-masing.

Sebahagian sumbangan makanan yang diagihkan oleh pegawai yang mengikuti Program Eksekutif Muda Kohot 3, kelmarin.
Para peserta yang terlibat Projek Cook ‘n’ Share menyediakan makanan untuk diagih-agihkan di Pusat Belia di ibu negara, kelmarin.