Saturday, January 25, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    250 profesional muda berkongsi pendapat

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 DIS – Lebih daripada 250 orang belia yang terdiri daripada profesional muda di sektor awam dan swasta menghadiri sesi dialog secara maya hari ini.

    Pada sesi dialog itu, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin yang hadir selaku tetamu kehormat antara lain mengongsikan, belia bukan sahaja pemimpin masa depan tapi mereka juga adalah pemimpin sekarang.

    “Memandangkan komuniti belia akan menjadi golongan yang akan memimpin negara untuk mencapai wawasan 2035, seluruh masyarakat perlu memastikan mereka dibimbing dan diambil serius,” jelasnya.

    Bertukar pandangan dengan golongan belia melalui pelbagai platform yang ada adalah satu cara untuk membuatkan suara mereka didengari.

    Sesi dialog secara maya ini dianjurkan oleh Dasar Belia Negara dan Strategi (DBNS) 2020-2035, Youth Advisory Group (YAG) dengan kerjasama Majlis Belia Brunei (MBB), serta sokongan daripada Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Rangkaian Profesional Muda (YPN).

    Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan hadir selaku tetamu kehormat pada sesi dialog berkenaan. – Gambar serahan YAG DBNS

    Turut hadir pada sesi dialog itu ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari selaku pengerusi YAG DBNS dan yang dipertua MBB.

    Antara lain tujuan sesi dialog berkenaan adalah untuk memperkenalkan DBNS 2020-2035 kepada belia, serta mendapatkan input daripada para profesional muda untuk pembangunan negara dan pembangunan modal insan.

    Acara dimulakan dengan taklimat ringkas mengenai DBNS 2020-2035 yang disampaikan oleh Penolong Ketua Pegawai Belia dan Sukan, Dr Mohammad Nuriskandar bin Mohd Hasnan diikuti dengan pengenalan tentang YPN oleh pengasas bersama YPN, Awang Mohammad Ajrul bin Haji Mail.

    Para peserta juga berpeluang untuk bertukar pandangan dalam Sesi Ruang Terbuka mengenai tiga subjek yang relevan untuk golongan profesional muda iaitu pembangunan kerjaya, jurang kemahiran dan pembiayaan peribadi.

    Selain itu, peserta juga dijemput untuk mencadangkan idea dan penyelesaian bagi meningkatkan pembangunan modal insan dan menangani cabaran yang dihadapi sebagai profesional muda.

    Antara cadangan yang dikemukakan adalah memupuk pemikiran pelajar di tempat kerja, menjadikan maklum balas pekerja sebagai salah satu metrik utama untuk petunjuk prestasi utama (KPI), mewujudkan kerangka kerja pembangunan yang bersesuaian untuk graduan baharu.

    Selain itu, ia juga memperkenalkan sistem kepimpinan dan maklum balas dua hala untuk merapatkan jurang antara generasi berlainan dan meningkatkan persefahaman antara pekerja yang berpengalaman dan pekerja baharu.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda