25,000 hingga 40,000 sampel ujian seminggu diambil di Sabah

KUALA LUMPUR, 18 NOV – Bilangan sampel yang diambil untuk ujian COVID-19 meningkat kepada 25,000 ke 40,000 seminggu pada Oktober dan November di Sabah berbanding 3,500 sample seminggu pada September, kata Timbalan Menteri Kesihatan I Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Dr Noor Azmi berkata sebanyak 380,850 ujian PCR dan 137,429 ujian RTK Antigen dijalankan bagi Sabah sehingga 9 Nov lepas.

“Bagi ujian PCR COVID-19, kemampuan menganalisa sampel ini adalah berdasarkan had kapasiti setiap makmal. Had kapasiti bagi makmal di Sabah adalah 2,700 ujian sehari.

“Apabila sampel yang diambil telah melebihi kapasiti maksimum makmal di Sabah, sampel selebihnya akan dibawa ke makmal di Semenanjung untuk dianalisa,” katanya dalam ucapan pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata kerajaan sedang membangunkan dua makmal di Sabah iaitu Makmal Molekular di Tawau dan Makmal Modular di Lahad Datu dan dijangka siap dalam masa terdekat dengan kemampuan kapasiti sebanyak 200 sampel ujian PCR COVID-19 sehari. – Bernama

Kakitangan Jabatan Kesihatan Labuan memakai kelengkapan perlindungan diri (PPE) penuh bersedia sebelum memulakan saringan COVID-19 di salah satu kawasan sasaran di sebuah bilik sewa yang padat di bangunan kedai di tengah bandar, baru-baru ini. – Bernama