251 bakal haji berlepas

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 JULAI – Penerbangan pertama membawa seramai 251 bakal jemaah haji Negara Brunei Darussalam telah berlepas pada jam 8 pagi hari ini menaiki pesawat BI4201 Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) dan dijangka tiba di Madinah pada jam 12:40 tengah hari waktu tempatan.

Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan isteri.

Juga hadir ialah Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB); Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar serta isteri; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar berserta isteri; Duta Besar Istimewa dan Mutlak Arab Saudi ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Emad bin Abdul Aziz Al-Muhanna; Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof berserta isteri; Pesuruhjaya Pasukan Polis Diraja Brunei, Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali berserta isteri, timbalan-timbalan setiausaha tetap di KHEU dan Kementerian Kesihatan, para pengarah dan penolong pengarah dan pegawai-pegawai kanan KHEU serta pengarah-pengarah urusan syarikat pengendali pakej haji.

Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Suhaili bin Haji Metali Al-Hafiz, manakala itu, azan dilaungkan oleh Haji Abdul Latif bin Haji Saman.

Penerbangan pertama berkenaan turut membawa pegawai-pegawai dari Maktab Urusan Haji Perubatan, Syarikat Darussalam Holdings Sdn Bhd (DHSB), Syarikat Raudah Al-Amin Sdn Bhd, Syarikat Straits Central Agencies (B) Sdn Bhd dan Syarikat At-Taqwa Travel Tours Sdn Bhd.

Daripada jumlah bakal jemaah haji dalam penerbangan pertama berkenaan, seramai 42 orang jemaah mengikuti pakej di bawah DHSB, 62 orang di bawah Syarikat Raudah Al-Amin Sdn Bhd, 103 di bawah Syarikat Straits Central Agencies (B) Sdn Bhd dan 41 orang lagi di bawah Syarikat At-Taqwa Travel Tours Sdn Bhd.

Mengiringi bakal jemaah haji bagi penerbangan pertama berkenaan ialah tiga orang pegawai Maktab Urusan Haji Perubatan.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Arab Saudi ke Brunei Darussalam, Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Menteri Kesihatan, timbalan menteri dan setiausaha tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama serta pesuruhjaya polis ketika hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar kepada seramai 251 bakal jemaah haji Negara Brunei Darussalam yang berlepas ke tanah suci dalam penerbangan pertama pesawat BI4201 Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB).
Antara bakal jemaah haji yang mengikuti penerbangan pertama berlepas pada jam 8 pagi kelmarin.