251 graduan KUPU SB diraikan

Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 NOV – Seramai 251 pelajar Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) telah berjaya menamatkan pengajian mereka dan diraikan pada Majlis Konvokesyen KUPU SB ke-10 yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, hari ini.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Canselor KUPU SB, telah berkenan berangkat menyempurnakan pengurniaan sijil kepada para graduan Sarjana Perguruan Ugama, Sarjana Muda Perguruan Ugama, Diploma Lanjutan dan diploma.

Keberangkatan Baginda Sultan dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

Turut menjunjung keberangkatan Baginda ialah Ketua Hakim Syar’ie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar dan Raes KUPU SB, Dr Haji Adanan bin Haji Basar.

Majlis didahului dengan nyanyian lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam dan bacaan Surah Al-Fatihah yang dikepalai oleh Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz.

Keberangkatan KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin
Waddaulah ke Majlis Konvokesyen KUPU SB ke-10 di Dewan Plenari ICC, Berakas, kelmarin.
Baginda Sultan berkenan bergambar ramai bersama beberapa orang graduan KUPU SB.
ATAS & BAWAH: Baginda Sultan ketika berkenan mengurniakan sijil kepada para graduan KUPU SB yang diraikan.

ATAS & BAWAH; Baginda Sultan berkenan berswafoto bersama para graduan di akhir Majlis Konvokesyen KUPU SB, kelmarin. – Gambar oleh Infofoto

Graduan merakamkan gambar kenangan bersama keluarga
pada majlis tersebut.
ATAS & BAWAH : Para graduan dengan bangga menunjukkan ijazah yang diterima pada Majlis Konvokesyen KUPU SB ke-10 tersebut.

Para graduan mengabadikan hari bersejarah bersama rakan-rakan dan keluarga.

Dr Haji Adanan dalam sembah alu-aluannya menyem-bahkan bahawa majlis konvokesyen kali ini mengeluarkan graduan pertama program Sarjana Muda Perguruan Ugama hasil kurikulum universiti yang telah dikemaskan pada 2016.

Beliau menjelaskan, graduan berkenaan telah dididik dengan pengalaman pedagogi, penguasaan sukatan pelajaran secara bersepadu iaitu usuluddin, syariah, sejarah Islam, Bahasa Arab dan juga penga-laman asas sebagai graduan universiti.

Graduan berkenaan, tambah beliau, juga yang pertama memegang pengalaman kursus minor dengan pelbagai bidang sesuai dengan minat dan potensi masing-masing.

Beliau menyembahkan, sebanyak 13 program minor ditawarkan antaranya dakwah dan kepimpinan, falsafah dan pemikiran Islam, Fiqh Al-Usrah, Inovasi dan Teknologi Pendidikan Islam, Keusahawanan dalam Pendidikan Islam, Kewangan Islam, Pendidikan Awal Kanak-kanak, Bimbingan dan Kaunseling, Pendidikan Khas, Pendidikan Melayu Islam Beraja dan lainnya.

“Graduan berkenaan juga adalah keluaran pertama kurikulum baharu ini yang mengikut program kokurikulum sebagai kursus wajib universiti yang sama nilai dengan kursus akademik,” tambah beliau.

Bukan setakat itu, jelas Dr Haji Adanan, graduan KUPU SB juga terdidik secara holistik dalam perkembangan akademik dan sahsiah yang soleh.

Beliau seterusnya menyembahkan perkembangan dan inisiatif yang diusahakan oleh KUPU SB yang antaranya pengubahsuaian semula kurikulum pengajian Al-Quran dengan menambah kredit kursus dalam struktur kursus akademik.

Di samping itu, kemahiran Al-Quran pelajar juga ditingkatkan dengan program khatam Al-Quran pada setiap semester.

KUPU SB dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Masjid dan Pusat Dakwah Islamiah juga telah menganjurkan siri Tadabbur Al-Quran di masjid-masjid selain mengadakan kursus kaedah Tadabbur Al-Quran bagi pegawai dan imam-imam.

Selain itu, KUPU SB juga bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan dalam mengadakan Kursus Training of Trainers kaedah mengajar Al-Quran bagi pegawai pelajaran agama yang mengajar Al-Quran.

Beliau turut menyentuh berkaitan dengan Bahasa Arab di mana Pusat Bahasa KUPU SB sedang giat berusaha memperkukuhkan kurikulumnya dan bekerjasama dengan Jabatan Pengajian Islam, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan Universiti Brunei Darussalam (UBD) dalam mengendalikan bengkel guru Bahasa Arab.

Selain itu, penelitian semula sistem dan kurikulum Bahasa Arab di sekolah-sekolah dan mengendalikan beberapa Mu’Tamar Bahasa Arab pada peringkat negara dan serantau.

Baginda Sultan kemudian berkenan menyempurnakan pengurniaan ijazah kepada para graduan mengikut bidang masing-masing.

Kemudian, Doa Selamat dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz.

Sebagai sebuah institusi pengajian tinggi perguruan agama di Negara Brunei Darussalam, KUPU SB bertanggungjawab melahirkan pendidik dan pemimpin bertakwa, berwibawa, berakhlak mulia, berdaya saing, berpengetahuan, berfikiran terbuka, berkemahiran tinggi dan komited.

Sehubungan itu, pelajar yang akan menjadi pendidik dipastikan untuk mendapatkan seluruh ilmu, adab dan kemahiran yang diwajibkan bagi memenuhi keperluan abad ini dan sentiasa bersedia dengan segala perubahan dengan memegang kukuh ajaran agama Islam iaitu berpandukan Ahli Sunnah Waljama’ah dan menjaga falsafah negara, Melayu Islam Beraja.