253 pelajar sertai minggu Ta’aruf

Oleh Yusrin Junaidi

TEMBURONG, 27 JULAI – Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar hari ini telah mengadakan Minggu Ta’aruf bagi pelajar baharu pengambilan ke-14 dalam program Sarjana Muda Perguruan Ugama dan Diploma Tertinggi Perguruan Ugama, sesi pengajian 2020/2021.

Seramai 253 orang pelajar baharu telah menyertai Minggu Ta’aruf yang diadakan selama empat hari bermula hari ini hingga 30 Julai bertempat di Kem Latihan Program Khidmat Bakti Negara (PKBN), Batu Apoi, Daerah Temburong dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Antara objektif program Minggu Ta’aruf diadakan adalah untuk memberi pendedahan tentang kepentingan memahami falsafah, visi dan misi KUPU SB sebagai sebuah institusi pengajian tinggi perguruan agama di Negara Brunei Darussalam.

Selain itu, ia dihasratkan untuk memperkenalkan program, kurikulum dan kegiatan-kegiatan yang dilaksanakan di bawah kokurikulum, KUPU SB dan seterusnya, meningkatkan kesedaran dan tanggungjawab dalam mematuhi peraturan di dalam kolej universiti.

Sepanjang program Minggu Ta’aruf, pelajar akan diberikan beberapa taklimat yang akan disampaikan oleh Dekan Pelajar KUPU SB, Awang Ali Hardi bin Haji Mohamed, berkaitan dengan pengurusan dan pentadbiran di KUPU SB, program-program dan kursus-kursus yang ditawarkan, sesi pengajaran dan pembelajaran serta kegiatan kokurikulum yang akan disampaikan oleh dekan-dekan fakulti, pengarah dan ketua bahagian.

Selain itu, program tersebut akan diisi dengan beberapa aktiviti keagamaan seperti tazkirah malam, sembahyang berjemaah, membaca Al-Quran secara berhalaqah, membaca Surah Yasin dan Ratib Al-Attas.

Awang Ali Hardi menyampaikan taklimat semasa Minggu Ta’aruf KUPU SB.
Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar telah mengadakan Minggu Ta’aruf bagi pelajar baharu pengambilan ke-14, sesi pengajian 2020/2021.