254 jemaah Haji Negara berlepas

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JULAI – Seramai 254 orang lagi jemaah haji negara termasuk tiga orang pegawai haji perubatan Maktab Urusan Haji Negara Brunei Darussalam telah berlepas ke tanah suci Madinah, hari ini, menaiki pesawat Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB).

Bagi penerbangan kedua ini, kesemua 251 orang bakal jemaah haji, 106 lelaki dan 145 orang perempuan, mengikuti pakej haji di bawah Syarikat Darussalam Holdings Sdn Bhd.

Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan isteri; Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) dan Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar serta isteri.

Turut hadir ialah Pemangku Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Dato Seri Paduka Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar serta isteri; Duta Besar Istimewa dan Mutlak Arab Saudi, Tuan Yang Terutama Emad bin Abdul Aziz Al-Muhanna; setiausaha tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), pesuruhjaya Pasukan Polis Diraja Brunei, timbalan setiausaha tetap di KHEU dan Kementerian Kesihatan, pengarah dan penolong pengarah, pegawai kanan KHEU serta pengarah urusan syarikat pengendali pakej haji.

Bagi memberkati majlis, Doa Selamat telah dibacakan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Mustafa bin Haji Murat manakala itu, lafaz azan dilaungkan oleh Mudim Haji Suhaili bin Haji Kalong.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua dan Yang Berhormat Menteri Kesihatan hadir bagi mengucapkan selamat belayar kepada para jemaah haji. – Gambar Rokiah Mahmud