254 kes jangkitan baharu, tiga lagi kluster dikesan

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 SEPT – Negara Brunei Darussalam hari ini mencatatkan 6,540 kes keseluruhan selepas pengesanan sejumlah 254 kes baharu jangkitan COVID-19.

Sementara itu, terdapat 111 tambahan kes-kes baharu kepada 15 kluster aktif sedia ada yang merupakan kontak-kontak terdekat beberapa kes positif sebelumnya manakala tiga kluster baharu dikesan menjadikan jumlah kluster aktif kepada 106 kluster.

Kluster-kluster baharu ialah Kluster Permata Leo Vessel yang mengandungi 10 kes, Kluster Salvin Princess Vessel yang mengandungi enam kes manakala enam kes dikesan melalui operasi calitan besar-besaran di Kampung Pengkalan Gadong pada 22 sehingga 25 September lalu.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar mengongsikan statistik itu pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

Menurutnya, terdapat 121 kes baharu yang masih dalam siasatan bagi mengenal pasti sumber jangkitan.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan dan Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin semasa sidang media harian di Kementerian Kesihatan, semalam. – Gambar oleh Muiz Matdani

Dalam pada itu, sebanyak 138 kes disahkan sembuh yang membawa jumlah keseluruhan yang sembuh setakat ini ialah 4,326 manakala kes aktif pula sebanyak 2,170 kes.

“Di kalangan kes-kes yang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan, lapan kes adalah dalam Kategori 5 dan sedang dirawat di unit rawatan intensif. 

“Kesemua mereka memerlukan bantuan mesin pernafasan (artificial ventilation) dengan satu kes memerlukan bantuan mesin tambahan heart-lung machine (ECMO). 

“Sementara itu, 34 kes lain dikategorikan dalam Kategori 4 iaitu yang memerlukan bantuan oksigen dan adalah di bawah pemantauan rapi,” jelas Yang Berhormat Menteri Kesihatan lagi.

Dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 5,508 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 335,986 ujian, katanya.