Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Sept – Kumpulan ketiga jemaah haji Negara Brunei Darussalam seramai 254 orang yang mengikuti pakej Syarikat Darussalam Holding Sdn Bhd telah selamat tiba di tanah air kira-kira 3:30 petang tadi.
Ketibaan mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei disambut oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman.
Juga mengalu-alukan ketibaan jemaah haji negara ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dato Seri Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud; Setiausaha Tetap KHEU, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Mohd Yussof; Timbalan Setiausaha Tetap (Pelaburan) Kementerian Kewangan, Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid; Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) KHEU, Awang Roslan bin Haji Taja’ah; dan wakil Kedutaan Besar Kerajaan Arab Saudi ke Brunei, Meshal Abdullah A.Habshan.
Tidak ketinggalan juga, kaum keluarga dan sanak saudara yang memenuhi ruang ketibaan bagi menyambut kepulangan jemaah haji.



Sejurus ketibaan, Doa Selamat telah dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Mudim Haji Amran bin Haji Mohd Salleh.
Salah seorang jemaah haji yang ditemui, Haji Rahim bin Haji Othman berkata, sepanjang berada di tanah suci segala urusan ibadah haji dari hari pertama tidak disangka berjalan dengan lancar, walaupun ada sedikit masalah tetapi masih dapat ditangani dengan baik.
“Paling mencabar ketika perjalanan ke Taman Raudhah iaitu tempat yang paling mustajab untuk berdoa.
“Alhamdulillah, walaupun ada sedikit masalah, akhirnya semua urusan dapat ditempuhi dengan baik dan sempurna berkat adanya kesabaran,” ujarnya.