PARIS, 3 MEI – Kira-kira 258 juta orang memerlukan bantuan makanan kecemasan tahun lalu akibat konflik, kejutan ekonomi dan bencana iklim, menurut laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) hari ini, peningkatan mendadak daripada 193 juta tahun sebelumnya.
“Lebih suku bilion orang kini berdepan tahap kelaparan yang teruk sehingga ada yang berada di ambang kebuluran dan itu tidak wajar,” kata Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres.
Ia adalah “kenyataan perit mengenai kegagalan manusia untuk mencapai kemajuan… dalam menamatkan kelaparan dan mencapai keselamatan makanan serta meningkatkan nutrisi untuk semua,” katanya.
Pada 2022, 258 juta orang berdepan paras tertinggi ketakjaminan makanan teruk di 58 negara atau wilayah, meningkat daripada 193 juta di 53 negara pada tahun sebelumnya, menurut laporan itu.
Lebih 40 peratus adalah mereka yang tinggal di negara yang dilanda konflik di Republik Demokratik Congo, Ethiopia, Afghanistan, Nigeria dan Yaman, katanya.
Jumlah keseluruhan orang yang sangat memerlukan bantuan makanan kini meningkat untuk empat tahun berturut-turut.
Laporan itu mengkategorikan mereka dalam situasi ‘krisis’, ‘kecemasan’ atau paling teruk – ‘bencana’.
Dalam kategori terakhir ini, 376,000 orang berada di ambang kebuluran tahun lepas, katanya. Lebih separuh daripadanya tinggal di Somalia, yang mengalami kemarau dahsyat dikaitkan dengan perubahan iklim.
Sekumpulan saintis iklim antarabangsa, World Weather Attribution (WWA), berkata bulan lalu, perubahan iklim disebabkan oleh manusia menjadi punca kemarau pertanian di Afrika ‘kira-kira lebih 100 kali’.
Di 58 negara yang terkandung dalam laporan itu, lebih 35 juta kanak-kanak di bawah lima tahun mengalami kekurangan zat makanan dan sangat kurus, katanya.
Tetapi ‘pembiayaan kemanusiaan untuk memerangi kebuluran dan kekurangan zat makanan adalah tidak besar berbanding de-ngan apa yang diperlukan’, kata Guterres.
Krisis makanan tahun lepas disebabkan oleh ‘konflik dan ketidakselamatan, kejutan ekonomi dan cuaca yang melampau’, menurut laporan itu. – AFP