259 graduan KUPU SB dirai

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OKT – Seramai 259 orang bakal graduan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) telah diraikan pada Majlis Kesyukuran Tamat Pengajian bersempena Majlis Konvokesyen ke-9 KUPU SB yang berlangsung di Dewan Tarbiyyah, KUPU SB, hari ini.

Hadir selaku tetamu ke-hormat majlis ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yusof dan datin.

Turut hadir ialah Pemangku Ra’es KUPU SB, Dr Haji Adanan bin Haji Basar; Pemangku Timbalan Ra’es, Dr Haji Abang Hadzmin bin Haji Abang Taha; Pemangku Penolong Ra’es KUPU SB, Datin Dr Hajah Noor Hira binti Haji Noor Kaseh, para pegawai utama dan pensyarah KUPU SB serta ibu bapa bakal graduan.

Majlis yang diadakan untuk menzahirkan kesyukuran kepada Allah SWT atas kejayaan yang diraih bakal graduan itu telah didahului dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh tetamu kehormat.

Seterusnya, para bakal graduan membaca Surah Hud dari Ayat 108 hingga 123 beramai-ramai sebelum Dikir Asyrakal dan Marhaban dilaungkan dengan bakal graduan bergerak untuk bersalaman dengan tetamu kehormat majlis, jemputan khas dan pensyarah yang hadir.

Pada majlis itu, Doa Kesyukuran dibacakan oleh Awang Abdul Mukmin bin Haji Awang, bakal graduan Program Diploma Perguruan Ugama Lepasan Ijazah.

Majlis Konvokesyen ke-9 KUPU SB akan diadakan pada 15 Oktober ini di mana seorang bakal graduan akan menerima ijazah doktor falsafah, enam orang bakal graduan dalam program sarjana, 51 orang dalam program lepasan ijazah, 96 dalam program sarjana muda dan 105 bakal graduan dalam program diploma.

Para bakal graduan yang diraikan pada majlis kesyukuran bertempat di Dewan Tarbiyyah KUPU SB.