26 ahli BDARA sertai BARF ke-10

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 NOV – Seramai 26 orang ahli Persekutuan Radio Amatur Negara Brunei Darussalam (BDARA) telah menghadiri Festival Radio Amateur Borneo (BARF) ke-10 di Kota Kinabalu, Sabah, baru-baru ini.

Delegasi BDARA telah diketuai oleh Yang Di-Pertua BDARA, Mejar (B) Haji Tamat bin Haji Lampoh.

BARF yang berlangsung selama tiga hari itu dianjurkan oleh Borneo Amateur Radio Club Sabah (BARCS) atas kerjasama 12 kelab radio amatur Sabah dan ini merupakan kali pertama ia diadakan di Kota Kinabalu. Ia diadakan setiap dua mengikut peredaran penganjur kepulauan Borneo.

Seramai 137 orang ahli radio amatur dari kepulauan Borneo, iaitu dari Negara Brunei Darussalam; Kalimantan, Indonesia; Sabah dan Sarawak, Malaysia menghadiri festival berkenaan. Turut hadir ialah seorang radio amatur dari China dan beberapa radio amatur dari Semenanjung Malaysia.

Menurut kenyataan BDARA, festival itu telah dilancarkan oleh Timbalan Pengarah, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Kota Kinabalu, Sabah, Izan Afzan Salamat.

Sepanjang festival berkenaan, pertandingan CW Contest juga diadakan di samping jualan barangan aksesori radio amatur dan pertunjukan Vehicle Radio Set-up yang menarik minat para peserta.

Para peserta juga dibawa melawat ke tempat-tempat yang menarik.

Kenyataan menyatakan, BARF ke-11 akan diadakan pada 2021 di Pontianak, Indonesia.

Gambar ramai ahli-ahli BDARA semasa menghadiri festival berkenaan.