26 Bakal jemaah haji diraikan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN,10 JULAI – Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) petang tadi telah mengadakan Majlis Doa Selamat bagi Bakal Jemaah Haji KHEDN dan Jabatan-jabatan di bawahnya bagi Musim Haji Tahun 1440H/2019M.

Majlis yang berlangsung di Surau Bangunan KHEDN di ibu negara itu dihadiri oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan sembahyang fardu Asar berjemaah dan diteruskan dengan bacaan Surah Al-Fatihah diikuti dengan bacaan Doa Selamat.

Majlis diteruskan dengan penyampaian derma kepada bakal-bakal jemaah haji yang disampaikan oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri. Pada tahun ini, seramai 26 orang pegawai dan kakitangan KHEDN dan jabatan-jabatan di bawahnya akan menunaikan ibadah haji iaitu seorang masing-masing dari KHEDN, Jabatan Daerah Belait, Jabatan Daerah Tutong, Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria, Jabatan Bandaran Tutong; tiga orang dari Jabatan Daerah Brunei dan Muara; tiga orang dari Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan; tujuh orang dari Jabatan Bomba dan Penyelamat; enam orang dari Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan dan dua orang dari Jabatan Penjara.

Majlis tersebut merupakan salah satu aktiviti kementerian berkenaan yang bertujuan untuk memohon keberkatan dari Allah SWT agar semua bakal-bakal jemaah haji mendapat perlindungan, keselamatan, dipermudahkan urusan dan akan beroleh haji yang mabrur.

Turut hadir ke majlis tersebut ialah setiausaha-setiausaha tetap, timbalan-timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan, para pegawai kanan kementerian berkenaan serta para jemputan lainnya.

Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar ketika menyampaikan sumbangan kepada salah seorang bakal jemaah haji KHEDN.
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri ketika menghadiri majlis Doa Selamat bagi bakal jemaah haji KHEDN, kelmarin.