26 CCTV dipasang di bandar raya Kuching

KUCHING, 27 OGOS – Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) hari ini melancarkan projek perintis pemasangan 26 kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan India Street, Jalan Courthouse dan The Courthouse Connector di pusat bandar raya ini.

Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata projek perintis itu adalah usaha kerajaan negeri melalui SMA dengan kos RM175,000 yang dilaksanakan melalui kerjasama dengan Jawatankuasa India Street Pedestrian Mall dan pengurusan pusat beli-belah Plaza Merdeka.

Abdul Rahman yang juga Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU)) berkata CCTV berkenaan akan menyediakan pengawasan 24 jam di seluruh kawasan India Street, Jalan Courthouse dan The Courthouse Connector. – Bernama