26 ditahan, 19 cedera protes di Kiev

KIEV, 18 DIS – Seramai 26 orang ditahan dan 19 cedera semasa pertempuran dengan pihak polis dalam demonstrasi terhadap cadangan penjualan tanah ladang di Kiev, ibu negara Ukraine, lapor agensi berita Xinhua memetik jabatan komunikasi polis Kiev semalam.

“Penunjuk perasaan yang agresif ditahan dan dibawa ke jabatan polis…dan akan disiasat mengikut undang-undang berkaitan,” menurut jabatan itu dalam satu kenyataan.

Beribu-ribu orang dari empat kumpulan penunjuk perasaan dilaporkan berkumpul di luar bangunan parlimen kelmarin.

Situasi menjadi tegang apabila polis cuba menghalang tindakan sekumpulan penunjuk perasaan yang cuba mendirikan sebuah khemah di jalan raya.

“Walaupun polis telah memberikan amaran penunjuk perasaan tetap bertindak ganas dengan membaling objek keras kepada anggota keselamatan,” kata kenyataan itu.– Bernama/AFP

Pergerakan aktivis Ukraine bertempur dengan pasukan polis ketika bantahan terhadap reformasi penjualan tanah di hadapan Parlimen di Kiev. – AFP