Wednesday, April 17, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    26 ditahan miliki pelbagai barangan tegahan

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar serahan JKED

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 JUN – Seramai 26 individu telah ditahan kerana memiliki dan terlibat dalam penjualan barang-barang tegahan kastam dalam lima gerakan operasi dijalankan oleh Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) melalui Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, antaranya di kawasan Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien dan Rancangan Perumahan Negara (RPN), baru-baru ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JKED, hari ini, hasil gerakan operasi pertama yang dijalankan pada 31 Mei lalu di sebuah rumah di kawasan Kampung Anggerek Desa, JKED telah berjaya menahan enam orang lelaki warganegara asing yang berumur lingkungan 30 hingga 54 tahun yang memiliki dan terlibat dalam penjualan barang-barang tegahan kastam iaitu empat karton, 15 peket dan 62 batang rokok pelbagai jenis serta wang tunai berjumlah $536 dipercayai hasil daripada penjualan barang-barang tegahan kastam.

    Semasa gerakan operasi kedua yang dijalankan pada 2 Jun lalu, di sebuah rumah di kawasan Serambangun, Daerah Tutong, JKED telah menahan dua individu penduduk tetap dipercayai terlibat dalam penjualan barang-barang tegahan kastam iaitu seorang lelaki dan perempuan berumur 21 dan 22 tahun.

    Hasil gerakan berkenaan telah berjaya merampas 18 karton, 28 peket dan 12 batang rokok pelbagai jenis. Turut dirampas adalah dua unit vape dan dua botol jus perisa vape.

    Pada hari yang sama, gerakan operasi ketiga dijalankan di sebuah rumah di kawasan Kampung Sengkarai, Daerah Tutong, di mana JKED telah menahan dua individu warga tempatan iaitu seorang lelaki dan perempuan berumur 29 dan 34 tahun yang dipercayai memiliki dan terlibat dalam aktiviti penjualan barang-barang tegahan kastam dan turut merampas empat peket rokok, 11 botol minuman keras pelbagai jenis, bunga api dan mercun.

    Manakala itu, hasil gerakan operasi keempat dan kelima pada 4 Jun lalu yang dijalankan secara serentak iaitu operasi sekatan jalan raya yang dijalankan di dua daerah di kawasan Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien menuju ke Bandar Seri Begawan, Daerah Brunei dan Muara dan di kawasan Rancangan Perumahan Negara (RPN) di Kampung Panaga, Daerah Belait, JKED telah berjaya menahan 16 individu iaitu 14 orang warganegara tempatan, seorang penduduk tetap dan seorang warganegara asing berumur lingkungan 19 hingga 58 tahun.

    Mereka dipercayai memiliki barang-barang tegahan Kastam iaitu tiga karton, tujuh peket dan 94 batang rokok pelbagai jenis, 11 unit vape dan empat botol perisa jus vape pelbagai jenis. Kenyataan menyatakan bahawa kesemua barangan tengahan telah dirampas dan kesemua individu terlibat telah dibawa ke Pejabat Penguatkuasaan Undang-undang untuk siasatan lanjut.

    Barang rampasan semasa gerakan operasi ketiga JKED di Kampung Sengkarai, Tutong.
    Antara barangan tegahan yang dirampas oleh pegawai penguat kuasa JKED dalam salah satu gerakan operasi yang dijalankan baru-baru ini.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Iran tutup sementara kemudahan nuklear

    TEHRAN, 16 APRIL – Iran menutup sementara kemudahan nuklearnya atas ‘pertimbangan keselamatan’ susulan serangan peluru berpandu dan dron besar-besarannya ke atas Israel pada hujung...