26 hari tanpa jangkitan COVID-19

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 JUN – Memasuki hari ke-26, Kementerian Kesihatan memaklumkan bahawa tidak ada kes baharu jangkitan COVID-19 disahkan di negara ini, menjadikan jumlah keseluruhan kekal 141 orang, manakala yang sembuh masih pada jumlah 138 orang.

“Pada masa ini, hanya satu kes aktif masih dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan. Beliau masih dalam keadaan kritikal dan memerlukan bantuan mesin tambahan heart/lung machine (ECMO) dan mesin pernafasan. Marilah kita sama-sama mendoakan semoga Allah SWT memberikan kesembuhan sepenuhnya kepada beliau. Aamiin Ya Rabbal Alamiin.”

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar berkata demikian pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

Menurutnya, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 108 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 19,624 ujian. Mengenai aplikasi BruHealth, Yang Berhormat Dato berkata, setakat ini sejumlah 264,258 orang manakala 4,876 syarikat dan premis telah pun mendaftar dengan aplikasi tersebut.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi BruHealth atau healthinfo.gov.bn.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham ketika Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah.