26 maut dalam serangan hotel

MOGADISHU, SOMALIA, 14 JULAI – Pelampau Islam meletupkan pagar sebuah hotel Somalia dengan bom kereta dan menawan bangunan selama lebih 14 jam, membunuh 26 orang sebelum tentera Somalia yang mengepung hotel semalaman membunuh penyerang. Mangsa termasuk seorang wartawan Kanada-Somalia terkenal.

Tiga warga Kenya, tiga warga Tanzania, dua warga Amerika dan seorang warga Britain juga antara mereka yang terbunuh, kata Ahmed Madobe, presiden negeri serantau Jubbaland yang mengawal Kismayo. Seramai 56 orang, termasuk dua warga China, cedera dalam serangan hotel itu, beritahunya kepada wartawan.

Sekurang-kurangnya empat penyerang al-Shabab menyerang Hotel Asasey pada petang Jumaat, bermula dengan bom kereta di pagar masuk ke hotel dan disusuli dengan serangan oleh lelaki bersenjata yang menyerbu hotel berkenaan, yang sering dikunjungi oleh ahli politik dan penggubal undang-undang.

Serangan berlangsung lebih 14 jam sebelum tentera menembak mati kesemua penyerang dalam perkarangan hotel, beritahu Kolonel Abdiqadir Nur, pegawai polis tempatan, kepada The Associated Press.

Pemberontak pelampau Islam Somalia, al-Shabab, mendakwa bertanggungjawab atas serangan itu. Al-Shabab, yang bersekutu dengan Al-Qaeda, sering menggunakan bom kereta untuk menceroboh sasaran seperti hotel di Kismayo, yang agak tenang dalam beberapa tahun ini. – AP

Serangan yang berlaku di Hotel Asasey di Kismayo, Somalia, pada 13 Julai. – AP