Thursday, November 30, 2023
31.3 C
Brunei

    -

    26 maut kebakaran bangunan di China

    BEIJING, 16 NOV – Seramai 26 orang maut manakala puluhan lagi dihantar ke hospital selepas kebakaran memusnahkan sebuah bangunan di wilayah Shanxi, utara China hari ini, lapor media kerajaan.

    Kebakaran bermula di sebuah bangunan empat tingkat milik syarikat arang batu Yongju di bandar Luliang pada kira-kira 6:50 pagi waktu tempatan, kata media kerajaan, memetik pihak berkuasa tempatan.

    Seramai 26 orang disahkan maut, lapor agensi berita Xinhua.

    Sebelum ini, penyiar CCTV berkata, 63 orang telah dipindahkan dari kawasan tersebut, 51 daripadanya dimasukkan ke hospital. Laporan itu tidak menyatakan jika mana-mana mangsa yang dibawa ke hospital telah meninggal dunia.

    CCTV melaporkan bahawa kebakaran dapat dikawal dan puncanya masih dalam siasatan.

    Anggota bomba cuba memadam kebakaran di sebuah bangunan Syarikat Arang Yongju di bandar Lyuliang di wilayah Shanxi kelmarin. – AP

    Ia juga mengatakan, merujuk kepada pusat penyelamatan, bahawa sejumlah orang ditahan oleh polis dan sedang disiasat berhubung dengan kebakaran tersebut.

    Rakaman video yang disiarkan di laman sosial Weibo menunjukkan api terang dan asap hitam tebal berkepul-kepul dari bangunan itu, manakala puluhan orang berdiri di tempat letak kereta hanya memerhatikan.

    Bangunan yang ditunjukkan dalam video itu sepadan dengan ibu pejabat syarikat arang batu yang disiarkan di laman webnya.

    Kakitangan respons kecemasan boleh dilihat dalam rakaman itu berlari untuk memakai alat perlindungan di luar jentera bomba yang diletakkan di pintu masuk bangunan.

    Pemimpin China Xi Jinping, di Amerika Syarikat untuk sidang kemuncak pemimpin Asia Pasifik, berkata terdapat ‘pengajaran yang amat mendalam’ yang boleh dipelajari daripada kebakaran itu.

    Kerajaan tempatan mesti ‘menjalankan siasatan mendalam tentang risiko tersembunyi dalam industri utama, menambah baik rancangan kecemasan dan langkah pencegahan’, katanya, menurut CCTV.

    Xi menggesa ‘segala usaha’ untuk merawat mangsa yang cedera serta menyiasat siapa yang bertanggungjawab terhadap kebakaran itu. Kemalangan industri adalah biasa di China disebabkan oleh piawaian keselamatan yang longgar dan penguatkuasaan yang lemah. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    China gesa gencatan senjata menyeluruh segera

    BEIJING, 30 NOV - China hari ini menggesa ‘gencatan senjata kemanusiaan yang berterusan’ dalam konflik Israel-Hamas dalam kertas jawatan yang dikeluarkan oleh kementerian luarnya. "Pihak-pihak...