26 pelanggan Lexus menang hadiah lumayan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OGOS – Seramai 26 orang pelanggan bertuah telah memenangi pelbagai hadiah menarik dalam majlis cabutan bagi promosi Amazing Experience Begins with Lexus yang diadakan di Bilik Pameran Lexus, Gadong, hari ini.

Pada majlis itu, Awang Harmizan bin Haji Lamat memenangi hadiah utama berupa penginapan 30 malam di The Empire Brunei, Awang Hamizan bin Rahman di tempat kedua memenangi penginapan 15 malam di The Empire Brunei manakala itu, Dayang Haniezah binti Haji Mat Emran memenangi penginapan 10 malam di The Empire Brunei selaku pemenang ketiga.

Sementara itu, 23 orang pemenang bertuah lain memenangi Apple Watch S6 atau iPad 10.2 inci.

Hadir bagi menyampaikan pada majlis itu ialah Pengarah Urusan NBT, Haji Ahmad bin Haji Husin; Pengurus Besar Kanan Jualan NBT, Leong Cheng Soon, dan Pengurus Jualan NBT, Awang Muhammad Clovien bin Abdullah Timpoh.

Acara tersebut telah dihadiri oleh pelanggan-pelanggan yang telah membeli dan mendaftar mana-mana Lexus mereka bermula 1 Mei hingga 31 Julai lalu.

Awang Harmizan, 40, semasa ditemui Media Permata berikutan acara cabutan bertuah tersebut melahirkan rasa syukur kerana telah memenangi hadiah utama tersebut.

“Alhamdulillah, saya berasa gembira dan tidak menjangkakan untuk memenanginya.

“Mengenai hadiah penginapan 30 hari itu, saya akan bahagikan hari-harinya nanti. Tidak sanggup untuk saya menginap 30 hari terus menerus,” jelas beliau yang telah membeli Lexus model IS 200 pada Jun lalu.

Haji Ahmad bersama tiga pemenang teratas promosi berkenaan. – Gambar oleh Muiz Matdani