Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 SEPT- Seramai 26 peserta terdiri daripada pendidik, guru teknikal dan profesional TVET yang menamatkan Program Latihan Dalam Negara mengenai Penghijauan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) telah menerima sijil pada majlis yang berlangsung di SEAMEO VOCTECH, Gadong.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis penutup itu ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri, Pengiran Haji Jamra Weira bin Pengiran Haji Petra.
Turut hadir Pengarah Pusat SEAMEO VOCTECH, Haji Norjemee bin Jenek, timbalan pengarah, pihak pengurusan dan pegawai-pegawai pusat tersebut.
Menurut kenyataan, latihan itu dianjurkan untuk memberikan peserta pemahaman menyeluruh mengenai dasar-dasar hijau, strategi kemapanan untuk industri, amalan perniagaan mesra alam dan peranan penting TVET dalam mempromosikan pembangunan lestari.
Ketika menghadapi cabaran iklim yang semakin meningkat, peranan TVET dalam menyokong peralihan kepada ekonomi yang lebih hijau adalah amat penting dan program latihan itu membekalkan institusi TVET dengan alat dan pengetahuan yang diperlukan untuk mempelopori kemapanan, sekali gus menempatkan mereka di barisan hadapan dalam gerakan hijau global.
Program intensif yang bermula dari 10 hingga 14 September itu dikendalikan bersama oleh profesor madya dan pakar pendidikan hijau, Dr Margarita Pavlova dan Aysuhan Tuba Saral dari Universiti Pendidikan Hong Kong.
Sepanjang latihan, peserta telah membincangkan topik penting mengenai penghijauan, termasuk dasar hijau kerajaan, strategi kemapanan untuk industri, inisiatif perniagaan untuk alam sekitar dan peranan penghijauan dalam sektor TVET. Program itu menggunakan pendekatan holistik dan memperkasa pendidik untuk mengintegrasikan kemahiran hijau dalam pengajaran mereka.
Selain itu, ia juga menampilkan sumber dalam talian yang canggih dari Pusat UNEVOC (Hong Kong), yang digunakan untuk melatih pemimpin dan pengamal TVET di seluruh rantau Asia-Pasifik dan di seluruh dunia. Bahan berkualiti tinggi ini memastikan peserta menerima pendidikan terkini mengenai perkembangan terbaharu dalam penghijauan TVET.
Sebagai sebahagian daripada program, peserta juga mengadakan lawatan ke Kampus Agro-Teknologi dan Sains Gunaan IBTE, di mana mereka menyaksikan amalan lestari dalam tindakan dan meneroka cara-cara berpotensi untuk mengintegrasikan kemahiran hijau dalam kurikulum mereka.