26 peserta sertai Klinik Futsal

Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Dis – Seramai 26 orang peserta berusia dari 3 tahun hingga 16 tahun telah menyertai Klinik Futsal anjuran Akademi Puspa United di gelanggang futsal Kelab Rekreasi Diraja Brunei (RBRC) petang kelmarin.

Mereka telah diperkenalkan pada beberapa asas bermain futsal di bawah bimbingan Ketua Jurulatih Futsal Akademi Puspa United, Haji Puspa bin Haji Mohammad, yang memiliki Lesen Kejurulatihan Futsal Tahap 1 AFC, Sijil Kejurulatihan Futsal FIFA dan Persatuan Futsal Dunia (AMF).

Klinik selama dua jam, yang bermula pada pukul 4 petang berkenaan, bermula dengan sesi taklimat dan penerangan berkaitan sesi latihan yang akan dijalankan. Selepas itu para peserta telah dibawa melakukan gerakan pemanasan badan dan regangan.

Para peserta kemudiannya dibahagikan kepada empat stesen yang setiap satunya melatih pemain asas permainan futsal yang berbeza dan selepas para peserta selesai melalui keempat-empat stesen berkenaan, kejohanan mini pula dijalankan. Klinik berakhir dengan majlis penyampaian sijil penyertaan kepada peserta yang telah disempurnakan oleh Pengarah Eksekutif Akademi Puspa United, Siti Nur Afiqah Nabilah Azra binti Haji Puspa.

Dalam temu bual ringkas bersama Haji Puspa di akhir klinik, beliau menyatakan akademinya akan terus mengadakan klinik seumpamanya bagi memperkenalkan sukan futsal dalam suasana riang kepada golongan kanak-kanak dan remaja, terutama di peringkat akar umbi.

Beliau menyatakan rancangan untuk mengadakan klinik seumpamanya di penghujung bulan ini lagi bagi memanfaatkan cuti penggal terakhir persekolahan tahun 2018.

Haji Puspa (kanan) dan Siti Nur Afiqah Nabilah Azra bersama 26 peserta Klinik Futsal anjuran Akademi Puspa United bergambar ramai.