26 terkorban dalam nahas bot

DHAKA, 3 MEI – Kira-kira 26 orang terkorban apabila sebuah bot laju dipenuhi penumpang berlanggar dengan sebuah kapal membawa pasir hari ini dalam bencana maritim terbaharu yang melanda Bangladesh.

Polis berkata bot yang membawa sekitar 30 penumpang dari bandar Mawa itu merempuh kapal lain di sungai Padma ketika ia mendekati stesen sungai utama di bandar Shibchar.

“Setakat ini kami telah menermui 26 mayat termasuk seorang wanita. Kami juga menyelamatkan lima mangsa cedera termasuk tiga kanak-kanak,” kata pegawai polis Amir Hossain kepada AFP.

Hossain berkata haluan bot penumpang itu hancur berkecai apabila ia merempuh sisi kapal pengangkutan itu menyebabkannya karam dalam masa beberapa minit.

“Polis, anggota bomba dan pasukan penyelamatan tentera berkejar ke tempat kejadian, melancarkan pencarian dan kerja-kerja penyelamat,” katanya.

Anggota polis memeriksa bot laju yang membawa penumpang apabila ia berlanggar dengan sebuah kapal membawa pasir di Madaripur pada 3 Mei. – AFP

Saksi, Abdur Rahman berkata kedengaran bunyi kuat apabila kedua-duanya bertembung dan bot itu kemudian terbalik.

“Apabila kami tiba di lokasi kejadian kami mendapati bot laju terbelah dua. Ratusan penduduk kampung segera melancarkan kerja-kerja menyelamat sebelum mereka disertai polis dan anggota bomba,” katanya.

Menurut polis, Bangladesh sedang membina jalan terbesar di negara itu dan jambatan landasan kereta api dekat lokasi kemalangan.

Kerja-kerja pembinaan telah memperlahankan pengangkutan feri di sungai itu, menyebabkan ramai yang mengambil perkhidmatan bot laju yang kurang selamat, yang mengambil masa kira-kira 15 minit untuk menyeberang berbanding sekitar dua jam menggunakan feri yang lebih selamat.

Pentadbir kerajaan daerah Shibchar berkata lima orang dipercayai masih hilang.

Menurutnya, pemandu bot laju akan disiasat kerana dia nampaknya telah melanggar kapal pengangkutan itu, yang berlabuh pada ketika itu. – AFP