263 kes, lima lagi kluster baharu COVID-19 dilaporkan

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 SEPT – Sebanyak 263 kes baharu jangkitan COVID-19 telah disahkan hari ini yang menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 kepada 5,960 orang.

“Terdapat 113 tambahan kes-kes baharu kepada 17 kluster aktif yang sedia ada yang merupakan kontak-kontak terdekat kepada beberapa kes positif sebelumnya,” umum Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, petang tadi.

Yang Berhormat Dato juga menyatakan terdapat lima kluster baharu telah dikesan iaitu, Kluster 3774 yang mengandungi tujuh kes baharu; lima kes baharu bagi Kluster 5390; sebanyak 14 kes baharu bagi Kluster 5677; tujuh kes baharu bagi Kluster 5449; dan Kluster 5673 yang mengandungi lima kes baharu.

“Manakala dua kluster telah ditutup setelah tidak ada kes dikesan di dalam kluster berkenaan selama 28 hari. Kluster yang ditutup ialah Kluster Dragon Boat dan Kluster 451. Dengan ini, jumlah kluster aktif pada masa ini adalah sebanyak 103 kluster.

“Pada ketika ini, terdapat 112 kes yang masih dalam siasatan bagi mengenal pasti sumber jangkitan,” jelasnya.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham semasa menghadiri sidang media yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani

Sebanyak 127 kes telah disahkan sembuh hari ini yang membawa jumlah kes yang sembuh di negara ini kepada 4,022 kes manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 1,898 kes.

Dalam kalangan kes-kes yang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan, tujuh kes dalam kategori 5 dan sedang dirawat di unit rawatan intensif.

Kesemua mereka memerlukan bantuan mesin pernafasan dengan satu kes memerlukan bantuan mesin tambahan heart/lung machine (ECMO). 

Sementara itu, 31 kes lain dikategorikan dalam kategori 4 iaitu yang memerlukan bantuan oksigen dan adalah di bawah pemantauan rapi.

Menyentuh mengenai ujian sampel bagi virus SARS-CoV-2 dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 4,609 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 325,991 ujian.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan www.moh.gov.bn atau melalui aplikasi BruHealth. 

Sebarang pertanyaan mengenai COVID-19 boleh disalurkan ke Talian Nasihat Kesihatan 148, Talian Darussalam 123, Talian Helpdesk Brunei Red Crescent (BRC) atau e-mel kepada askhal.moh.gov.bn.