Monday, May 29, 2023
26 C
Brunei

    -

    268 sertai program anjuran DBP

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 APRIL – Seramai 268 orang telah menyertai Program 60 Minit Bersama Al-Quran anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bersempena Hari Buku Sedunia yang diadakan baru-baru ini secara maya melalui platform Facebook, YouTube DBP dan aplikasi Zoom.

    Hadir menyertai program tersebut ialah Pemangku Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab; Pemangku Timbalan Pengarah DBP, Hajah Sariani binti Haji Ishak, institusi-institusi, pegawai-pegawai kanan kerajaan dan bukan kerajaan, dan orang awam.

    Program tersebut diadakan adalah untuk memberikan peluang kepada orang ramai khususnya yang beragama Islam bagi sama-sama meluangkan masa selama 60 minit untuk membaca Al-Quran secara serentak di seluruh negara, sama ada membaca Al-Quran secara bersendirian atau berkumpulan, atau hanya mendengarkan bacaan surah-surah dalam Al-Quran bagi mereka yang tidak dapat membacanya.

    Matlamat dan objektif kegiatan ini adalah untuk menyemarakkan sambutan Hari Buku Sedunia dengan menggalakkan masyarakat di negara ini untuk membaca Al-Quran, selain meraih berkat dan ganjaran pahala yang berlipat kali ganda dalam bulan Ramadan.

    Program tersebut juga diharap dapat memupuk budaya membaca dan menggalakkan lebih ramai rakyat dan penduduk di negara ini untuk membaca dan mendengarkan bacaan Al-Quran dan mengumpulkan para pencinta Al-Quran dan individu yang baru mula untuk mendekatkan diri dengan Al-Quran.

    Semasa program itu juga, turut diadakan tazkirah bertajuk ‘Jadikan Al-Quran Sahabat Kitani’ yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pengajian Jawi dan Kitab Turath, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr Haji Mohd Shahrol Azmi bin Haji Abdul Muluk.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    China sedia hantar orang awam pertama ke angkasa lepas

    CHINA, 29 MEI - China akan menghantar angkasawan awam pertamanya ke angkasa lepas sebagai sebahagian daripada misi kru ke stesen angkasa Tiangong, esok, ketika...
    - Advertisment -