269 rekrut lelaki tamat latihan dirai

Oleh Sim Y. H.

TUTONG, 7 FEB – Setelah mengharungi tempoh latihan asas ketenteraan selama 31 minggu yang penuh cabaran, bagi seramai 269 orang rekrut lelaki pengambilan ke-165, hari ini, merupakan hari penuh bermakna bagi mereka kerana telah berjaya untuk menamatkan latihan asas ketenteraan dan diraikan dalam Upacara Perbarisan Tamat Latihan yang berlangsung di Padang Kawad Institut Latihan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Penanjong Garison.

Hadir selaku tetamu kehormat dan juga Pegawai Menerima Tabik Hormat pada upacara itu ialah Setiausaha Tetap (Media dan Kabinet) di Jabatan Perdana Menteri, Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos.

Turut hadir semasa upacara itu ialah Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud, pemerintah-pemerintah angkatan tentera, para pengarah, timbalan pemerintah angkatan tentera, komandan, para pegawai kanan, pegawai dan anggota ABDB serta keluarga rekrut.

Upacara dimulakan dengan perbarisan masuk rekrut yang tamat latihan ke padang kawad dengan diiringi Pancaragam ABDB diikuti dengan ketibaan pemerintah-pemerintah angkatan tentera yang menerima Hormat Panglima.

Upacara diteruskan dengan ketibaan pemerintah ABDB yang menerima Hormat Panglima dan diikuti dengan ketibaan Awang Mohammed Riza yang menerima Hormat Panglima serta dialu-alukan untuk memeriksa perbarisan.

Kemudian perbarisan berjalan lalu dalam gerak perlahan dan cepat serta perbarisan mara ke hadapan untuk diperhati semula yang diikuti dengan Hormat Panglima.

Awang Mohammed Riza kemudian memberikan ucapan sebelum dialu-alukan untuk menyampaikan hadiah kepada rekrut-rekrut terbaik dan jurulatih-jurulatih terbaik lelaki yang telah menunjukkan prestasi yang cemerlang sepanjang latihan dijalankan.

Penerima-penerima anugerah bagi Pengambilan Rekrut Lelaki ke-165 ialah Platun Sarjan Lelaki Terbaik, 15445 Sarjan (U) Hamdy bin Tujoh; Jurulatih Lelaki Terbaik, 19317 Koperal (U) Abdul Qawi bin Duraim; Rekrut Lelaki Terbaik Keseluruhan ialah 53424 Rekrut (L) Muhammad Khairul Safwan bin Abdul Karim; Rekrut Terbaik Senjata Ringan, 53490 Rekrut (U) Awangku Arsyad Muazzam bin Pengiran Ahmad; Latihan Jasmani Terbaik, 53387 Rekrut Muhammad Afifi bin Ramli dan Kemahiran Tentera Terbaik, 53446 Rekrut (L) Mohd Nur Arif bin Haji Zabidi.

Awang Mohammed Riza menyampaikan Anugerah Platun Sarjan Lelaki Terbaik kepada Sarjan (U) Hamdy.
Ahli-ahli keluarga rekrut yang diraikan tidak melepaskan peluang untuk merakamkan upacara berkenaan menggunakan kamera dan peranti pintar mereka.
Perbarisan berjalan lalu dalam gerak perlahan dan cepat.