27 aktivis, tahanan politik dibebaskan

PHNOM PENH, 17 NOV – Kemboja telah membebaskan 27 aktivis yang dipenjarakan atas tuduhan menghasut terhadap kerajaan Hun Sen ketika negara itu bersiap sedia untuk mengadakan rundingan antarabangsa.

Antara yang dibebaskan dalam tempoh 12 hari lalu ialah ahli kumpulan alam sekitar Mother Nature Kemboja serta pemimpin kesatuan sekerja yang lantang Rong Chhun, kata Am Sam Ath, timbalan pengarah kumpulan hak asasi manusia Licadho, hari ini.

Beliau berkata, mahkamah mengurangkan hukuman mereka atau membenarkan mereka diikat jamin, tetapi pertuduhan terhadap individu berkenaan belum digugurkan sepenuhnya.

Kemboja akan menjadi tuan rumah sidang kemuncak dalam talian bagi pemimpin Asia dan Eropah minggu depan.

Ia juga berdepan gesaan meningkat untuk memperbaiki rekod hak asasi manusianya ketika ia bersedia untuk menerajui Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara pada 2022.

Gambar fail bertarikh 12 November menunjukkan Rong Chhun menerima bunga daripada para penyokong selepas dibebaskan dari penjara Prey Sar di Phnom Penh. – AFP

Am Sam Ath mengaitkan pembebasan banduan itu disebabkan sensitiviti kerajaan dengan kritikan luar negara.

Kemboja perlu mengurangkan ketegangan politik dan kecaman terhadap situasi hak asasi manusianya,” kata Am Sam Ath kepada AFP.

Jurucakap Kementerian Kehakiman, Chin Malin, mengesahkan pembebasan aktivis yang dipenjarakan, menyatakan keperluan untuk mengurangkan kesesakan di penjara.

“Ini bukan mengenai sebarang tekanan. Mahkamah tidak mengambil perhatian sama ada mereka aktivis atau tidak,” katanya.

“Jika mereka melakukan aktiviti yang melanggar perintah mahkamah, mereka akan berdepan dengan undang-undang dan boleh dibawa semula ke penjara.” – AFP